JIKU JUGUONG
MARUDI : Langkah kerajaan Pusat membenarkan pencarum KumpulanWang Simpanan Pekerja ( KWSP ) mengeluarkan simpanan harus dipuji, kata Ahli Dewan undangan Negeri N.77 Telang Usan Dennis Ngau.
Katanya seperti yang dijangka, pengumuman Kerajaan Malaysia tempoh hari tentang beberapa langkah awal untuk membantu rakyat Malaysia dalam menghadapi dan mengharungi gelombang virus Covid-19 yang teruk melanda Negara mendapat pelbagai reaksi baik positif dan tidak kurang juga yang agak negatif.
Namun yang mengembira kita secara keseluruhannya, Dennis berkata rakyat Malaysia amat memahami keadaan Negara sekarang, khususnya kedudukan kewangan negara yang agak lemah ketika ini.
Ditambah lagi keadaan ekonomi Malaysia yang merundum teruk dan harga minyak mentah dunia, satu-satunya sumber utama kewangan Negara juga jatuh teruk, jelas beliau.
Oleh itu tegasnya antara langkah-langkah kerajaan ketika ini ialah kebenaran pengeluaran simpanan dari KWSP dari akaun 1 adalah yang paling logik dan tepat.
Menurut beliau logiknya kerana duit ini duit pencarum, dan bila dikeluarkan akan digunakan untuk keperluan diri dan keluarga di mana secara tidak langsung akan membantu merancakkan ekonomi Negara dan dalam masa yang sama, kerajaan boleh menggunakan duit tersebut untuk penggunaan secara makro.
“Contohnya peruntukan RM600 juta kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membeli peralatan yang sangat diperlukan untuk peralatan menjaga staf, merawat pesakit COVID 19 dan menambah staf dalam memerangi wabak Virus Covid- 19 yang teruk ketika ini,” jelasnya.
Dalam pada itu ujar Dennis rakyat tidak boleh mendesak kerajaan memberi bantuan untuk rakyat seperti waktu banjir atau rumah terbakar sebab negara kita sedang melalui suatu keadaan yang amat sukar dan tidak pernah dilalui Negara mahupun dunia.
“Yang amat menakutkan ialah virus ini menyebabkan kehilangan nyawa sangat mudah dan tiada seorang pun dapat memberitahu bila wabak ini akan berakhir dan oleh itu adakah waras kita mahu mempolitikkan isu virus COVID 19 ini,” Soal Dennis.
Menurut beliau komen yang mengatakan langkah pengeluaran simpanan KWSP yang sepatutnya untuk hari tua pencarum tidak bijak adalah tidak tepat sebab adakah kita lupa sebelum ini pun pencarum dibenarkan mengeluarkan simpanan dari akaun yang sama untuk membeli rumah, pendidikan dan sebagainya.
“ Kalau diizinkan Tuhan duit boleh dicari tetapi keperluan harian keluarga hari ini amat mendesak bagi setengah rakyat kita dan saya beranggapan tiada satu pun Negara akan dapat memenuhi semua permintaan dari setiap lapisan rakyatnya,” katanya.
Oleh itu Dennis berharap rakyat khususnya dari pendalaman bersabar dan memberi masa untuk kerajaan mencari jalan bagaimana meringankan bebanan kita secara mikro seperti yang telah dijanjikan oleh Perdana Menteri kita dan akan diumumkan pada 31/3/2020 ini.
Dennis percaya bahawa kerajaan sedang bersusaha mencari jalan untuk membantu rakyat yang mana kita seharusnya bersama kerajaan dan menyokong semua tindakan yang diambil demi kebaikan kita semua.
“Tidak perlu dipolitikkan hal hal sekarang dan nasihat kepada penduduk dikawasannya walaupun pencarum dibenarkan mengeluar simpanan mereka itu, Dennis berharap biar lah itu dilakukan sebagai “ the last resort “, seperti yang dinasihatkan oleh Perdana Menteri kita,” katanya.