Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Pengayuh basikal wanita Iran rentasi Asia secara solo, bawa mesej keamanan
  • INSPIRASI

Pengayuh basikal wanita Iran rentasi Asia secara solo, bawa mesej keamanan

Utusan Sarawak 14 hours ago
PENGAYUH basikal solo, Arezoo Eskandari juga duta Pertubuhan Pelancongan Negeri Esfahan di Asia ketika ditemubual oleh media mengenai perjalanan kayuhannya merentasi negara Asia di Cultural Centre Kedutaan Iran baru-baru ini. Arezoo, 35, tiba di Malaysia sejak Selasa lalu selepas menempuh lebih kira-kira 8,000 kilometer kayuhan dari Beijing dalam misi menyebarkan mesej keamanan dunia. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Biarpun berdepan risiko perjalanan secara solo, seorang pengayuh basikal wanita asal Isfahan tekad untuk menyelesaikan misi merentasi Asia demi menyebarkan mesej keamanan dan memperkenalkan budaya Republik Islam Iran kepada komuniti antarabangsa.

Mendapat julukan ‘Duta Pelancongan Isfahan’, Arezoo Eskandari, wanita berusia 35 tahun itu, tiba di Malaysia pada 28 April lepas dan akan meluangkan masa di ibu kota sebelum bergerak ke selatan tanah air serta meneruskan kayuhan ke Indonesia, India dan Pakistan.

Eskandari berkata perang yang melanda negaranya sejak 28 Februari lepas tidak pernah mematahkan semangatnya untuk meneruskan kayuhan, malah ia menjadi dorongan motivasi utama dalam melengkapkan misi kembara Asianya yang bermula 24 November, 2025 di Beijing.

AREZOO Eskandari juga duta Pertubuhan Pelancongan Negeri Esfahan di Asia, mengayuh basikal yang digunakan merentasi negara Asia ketika ditemui media mengenai perjalanan kayuhannya merentasi negara Asia di Cultural Centre Kedutaan Iran baru-baru ini. Foto Bernama

“Seperti yang anda tahu, Isfahan telah diperkenalkan sebagai ibu kota pelancongan negara-negara Asia pada 2025. Matlamat saya bukan sekadar mengayuh dan mengembara semata-mata. Matlamat saya adalah untuk mewujudkan pertukaran budaya antara Iran dan negara-negara Asia yang lain.

“Saya memperkenalkan budaya, makanan, mesej keamanan rakyat Iran dan tempat-tempat menarik di Iran kepada masyarakat Asia.

“Jadi, situasi yang berlaku sekarang tidak menghalang perjalanan saya, malah saya tetap akan meneruskannya,” katanya kepada media menerusi penterjemah bahasa Parsi ketika ditemui di Pusat Kebudayaan Iran baru-baru ini.

Beliau memulakan perjalanan enam bulan lepas dengan penerbangan dari Isfahan ke Beijing sambil membawa komponen basikalnya, sebelum memulakan kayuhan merentasi beberapa negara termasuk Vietnam, Laos dan Thailand dan memasuki Malaysia dari selatan Thailand setelah menyambut Aidilfitri di sana.

Berkongsi pengalamannya membuat hentian di negara-negara Asia, Eskandari mengakui keramahan dan budi bahasa masyarakat tempatan sehingga ada yang menawarkan penginapan dan melayannya seperti keluarga sendiri.

AREZOO Eskandari juga duta Pertubuhan Pelancongan Negeri Esfahan di Asia, bergambar bersama basikal yang digunakan merentasi negara Asia ketika ditemui media mengenai perjalanan kayuhannya merentasi negara Asia di Cultural Centre Kedutaan Iran baru-baru ini. Foto Bernama

“Detik paling manis ialah bila penduduk tempatan melayan saya seperti keluarga sendiri. Di Thailand, saya tinggal dengan keluarga tempatan, pergi ke majlis kahwin dan kenduri mereka, malah saya masak makanan Iran untuk mereka.

“Di Malaysia pula, saya rasa sangat selesa kerana ramai orang Islam seperti di Iran, malah rakyat Malaysia sangat baik hati dan peramah. Mereka banyak membantu saya di sepanjang jalan dari sempadan hingga ke sini (Kuala Lumpur). Saya sangat gembira berada di Malaysia,” katanya.

Eskandari akan berada di Malaysia selama sebulan dan akan bertemu dengan kumpulan pengayuh basikal tempatan untuk membuat kayuhan bersama.

Bersama sebuah basikal dan beban seberat 60 kilogram yang memuatkan peralatan memasak, peralatan membaiki, serta barangan peribadi, beliau turut berdepan cabaran cuaca panas dan lembap di Asia serta kesukaran mencari tempat untuk bermalam.

Membiayai sendiri kayuhan solonya itu, Eskandari membuat keputusan untuk menjual kenderaan miliknya.

Sepanjang perjalanan, beliau akan berjimat dan memasak sendiri selain membuka khemah atau bermalam di rumah penduduk tempatan di tempat persinggahan.

Beliau yang juga jurulatih kecergasan dan pendaki gunung selain memiliki sarjana dalam bidang psikologi, dapat membetulkan pelbagai tanggapan salah penduduk tempatan mengenai wanita Iran dan republik itu sendiri.

“Ada yang menyangka wanita di Iran tidak boleh ke universiti atau mengayuh solo. Saya ada pendidikan universiti dan mereka sangat terkejut. Ada juga yang menyangka Iran hanyalah padang pasir, sedangkan kami ada empat musim,” tambahnya.

Eskandari dijangka akan melengkapkan kayuhan merentasi Asia dalam tempoh setahun dan akan kembali ke Iran melalui Turki.- Bernama

Continue Reading

Previous: Khidmat ‘runner’ wanita bantu mudahkan urusan kaum hawa, jadi talian hayat komuniti

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.