
PETRA JAYA: Lebih 2,000 pelari tempatan dan antarabangsa sudah mengesahkan penyertaan bagi Larian Separuh Maraton Hock Seng Lee (HSL) Samarahan 2026 yang akan berlangsung hujung minggu ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, acara berkenaan kini menjadi antara program sukan tahunan yang semakin mendapat perhatian di Samarahan, sekali gus membantu merancakkan industri pelancongan negeri.
“Penyertaan bukan sahaja melibatkan pelari tempatan, malah turut menarik minat peserta antarabangsa untuk mengambil bahagian.
“Kerajaan Sarawak melalui kementerian yang saya terajui akan terus menyokong penganjuran acara seperti ini kerana ia memberi manfaat besar dari segi memupuk budaya hidup sihat, memperkasa komuniti dan pada masa sama mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Larian Separuh Maraton HSL Samarahan 2026 di Bilik Media Kompleks DUN, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Karim memaklumkan edisi kali ini hanya akan melibatkan kategori separuh maraton susulan pelaksanaan projek Transit Aliran Autonomi (ART) yang sedang giat dijalankan di kawasan Samarahan.
Katanya, keadaan laluan yang masih dipengaruhi kerja pembinaan menyebabkan penganjur mengambil pendekatan menyesuaikan jarak perlumbaan demi keselamatan peserta.
“Memandangkan keadaan semasa di Samarahan yang masih melibatkan banyak kerja pembinaan berkaitan ART, adalah lebih sesuai acara ini diadakan dalam format separuh maraton.
“Kita mahu memastikan laluan perlumbaan berada dalam keadaan selamat dan kondusif untuk semua peserta,” ujarnya.
Oleh Adele Rissa