KUALA LUMPUR: Pasaran buruh terbukti bertambah baik pada Julai 2020 manakala kadar pengangguran negara mencatat penurunan bagi tempoh dua bulan berturut-turut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Menurutnya, perangkaan tenaga buruh bagi Julai 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan semalam menunjukkan kadar pengangguran turun kepada 4.7 peratus selepas mencecah kadar tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2020 (Jun 2020: 4.9 peratus).
“Bilangan penganggur pada Julai 2020 adalah seramai 745,100 orang iaitu berkurangan sebanyak 28,200 orang berbanding Jun 2020,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Mustapa, sebilangan besar sektor ekonomi juga terus mencatat peningkatan guna tenaga sejak Jun 2020.
Beliau menjelaskan, sebahagian besar peningkatan ketara itu dapat dilihat dalam sektor perkhidmatan termasuk penginapan, aktiviti makanan dan minuman, kesenian, hiburan dan rekreasi, pengangkutan dan aktiviti berkaitan teknologi maklumat serta komunikasi seperti e-dagang dan e-hailing (e-panggilan).
“Keadaan pasaran buruh yang semakin baik ini disokong oleh aktiviti ekonomi yang kian pulih. Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) yang merangkumi tiga sektor utama iaitu perlombongan, pembuatan dan elektrik mencatat pertumbuhan positif pada kadar 2.1 peratus Julai 2020 berbanding tempoh sama pada 2019 setelah mengalami penguncupan bagi empat bulan berturut-turut sejak Mac,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan IPP didorong oleh pertumbuhan indeks pembuatan yang berkembang sebanyak 2.9 peratus.
Bagaimanapun, indeks perlombongan dan indeks elektrik masing-masing mencatatkan penyusutan 3.0 peratus dan 5.1 peratus.
Selain itu, kata Mustapa, nilai jualan sektor pembuatan turut mengekalkan pertumbuhan positif pada Julai sebanyak 1.9 peratus kepada RM119.3 bilion daripada RM117 bilion pada Julai 2019.
“Ini disumbangkan terutamanya oleh produk makanan, minuman dan tembakau yang mencatat peningkatan sebanyak 24.9 peratus manakala produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain 14.3 peratus dan produk peralatan elektrik dan elektronik sebanyak 8.4 peratus,” katanya.
Prestasi perdagangan borong dan runcit juga semakin pulih dengan nilai jualan perdagangan borong dan runcit merekodkan RM108.7 bilion pada Julai 2020 iaitu penurunan lebih kecil sebanyak 3.5 peratus berbanding tempoh sama pada 2019.
“Pencapaian ini lebih baik berbanding dengan penguncupan sebanyak 8.4 peratus pada Jun 2020 dan merupakan nilai jualan tertinggi semenjak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan disebabkan oleh Covid-19.
“Pemulihan pasaran buruh dan aktiviti ekonomi itu adalah selaras dengan keputusan kerajaan untuk membuka semula ekonomi secara beransur-ansur sejak Mei 2020 yang lalu membolehkan lebih banyak perniagaan beroperasi dan kini hampir semua aktiviti ekonomi telah dibuka semula,” katanya.
Mustapa turut menyifatkan rangsangan ekonomi dilaksanakan kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi 2020, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk membantu rakyat dan merancakkan aktiviti ekonomi, juga dapat mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara.
“Walaupun pasaran buruh semakin pulih sepertimana disasarkan, kerajaan sedar dan prihatin bahawa bilangan penganggur sebanyak 745,100 orang masih tinggi berbanding dengan purata seramai 494,000 orang bagi tempoh 2016-2019.
“Tambahan pula, masih terdapat 104,300 orang (908,900 orang pada Jun 2020) yang tidak bekerja buat sementara waktu seperti mereka yang diberhentikan kerja untuk sementara.
“Golongan ini tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka masih mempunyai pekerjaan dan akan kembali bekerja.
“Justeru, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan pemulihan ekonomi negara supaya lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan dan lebih ramai penggangur dapat kembali bekerja supaya negara berada dalam keadaan guna tenaga penuh,” katanya. – Bernama