SIBU: Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap seorang penganggur setelah mengaku bersalah memecahkan paparan mesin deposit tunai (CDM) sebuah bank di Jalan Kampung Nyabor, Isnin lepas.
Majistret Flavian Edward Henry yang menerima pengakuan dan rayuan tertuduh, turut mengenakan hukuman denda RM10,000 terhadap tertuduh yang dikenali sebagai Mohd Syafuan, 26.
Bagaimanapun, tertuduh gagal membayar denda tersebut dan diperintah menjalani tambahan penjara setahun.
Sementara itu dalam rayuannya, tertuduh yang merayu dikenakan hukuman ringan memberitahu tidak bekerja serta bersedia membayar ganti rugi kepada pihak bank bagi kerosakan yang beliau telah lakukan kepada mesin CDM itu.
Timbalan Pendakwa Raya Harvind A/L Raja Gopal memohon kepada mahkamah agar mengenakan hukuman setimpal memandangkan tertuduh mempunyai kesalahan lampau membabitkan kesalahan dadah.
Beliau turut memberitahu, perbuatan khianat terhadap bank dan institusi kewangan di sini semakin menjadi-jadi dan hukuman berat perlu dikenakan sebagai pengajaran kepada yang lain.
Pihak pendakwa turut merujuk kepada kes serupa yang dibicarakan di mahkamah sama pada 19 Januari lepas, dimana mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM10,000 atau penjara setahun terhadap pesalah terbabit.
Berdasarkan pertuduhan, Syafuan didakwa melakukan khianat terhadap sebuah mesin CDM di sebuah bank di Jalan Kampung Nyabor pada 6 Februari lepas, kira-kira 10.15 malam sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM9,700.
Untuk kesalahan itu, dia didakwa dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau denda denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit dengan kesalahan.
Mengikut fakta kes ringkas pengadu yang juga pegawai bank terbabit mendapati paparan sebuah mesin CDM telah pecah dan pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan tertuduh telah menumbuk paparan mesin terbabit pada hari kejadian.
Pengadu kemudian membuat laporan polis dan tertuduh telah berjaya ditahan pada 8 Februari 2023, kira-kira 10.30 pagi. Pihak polis turut merampas sehelai baju berwarna hitam dan seluar pendek kelabu yang digunakan oleh tertuduh pada hari kejadian.
Siasatan lanjut kemudian mendapati tertuduh bertindak menumbuk paparan mesin CDM tersebut sebanyak dua kali, menyebabkan kerugian RM9,700 kepada pihak bank.
Oleh AKUN GIMAN