Pengalaman sertai polis hutan cetus nilai patriotik, kemanusiaan dalam diri Tun Wan Junaidi

Facebook
WhatsApp
YANG Dipertua Negeri Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Foto BERNAMA

KUCHING:  “Nda manah mimpi… anang baka nyak.”  Ungkapan dalam bahasa Iban bermaksud “Mimpi tidak bagus… jangan begitu,” kekal terpahat dalam ingatan Yang Dipertua Negeri Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar walaupun dituturkan lebih 50 tahun lalu. 

Sedikit pun tidak terlintas di fikirannya ayat itu menjadi kata-kata terakhir anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) Konstabel Jabu Ajai sebelum terkorban dalam operasi memburu pengganas komunis di Tulai, Sarawak pada 1971. (Pasukan Polis Hutan kini dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am, satu cawangan dalam Polis Diraja Malaysia)

Bagi Tun Wan Junaidi, yang ketika itu mengetuai pasukan dalam operasi berkenaan, insiden tersebut bukan sekadar satu peristiwa dalam tugas, sebaliknya pengalaman yang meninggalkan kesan mendalam serta mengajar beliau tentang erti tanggungjawab, kepimpinan dan kemanusiaan.

Operasi Buru Komunis

Mengimbau kembali kejadian tersebut, Tun Wan Junaidi berkata beliau yang ketika itu berpangkat Inspektor, menerima arahan untuk membawa platunnya ke satu lokasi bagi menjalankan operasi khas selepas pasukan PPH yang berpangkalan di Tulai, Binatang (kini Bitangor) diserang hendap.

Serangan itu mengakibatkan dua anggota PPH terkorban manakala enam lagi cedera parah.

“Selepas mendengar taklimat di bilik gerakan, platun saya berlepas (dari Sibu) ke lokasi kira-kira 4.00 petang menaiki pesawat Nuri dan bermalam di kawasan berhampiran lokasi itu.

“Saya beri arahan kepada anak buah, kita perlu bergerak pada 7.00 pagi esok kerana (kami) tidak boleh bermalam di satu tempat (sama) selama dua hari. Kita mesti cari mereka yang bunuh anggota kita,” katanya ketika berkongsi kisah itu dengan Bernama.

Keesokan pagi, ketika semua anggota sudah bersedia untuk bergerak, Jabu masih belum bangun.

“Saya pun hairan, kenapa si Jabu ini tidak bangun. Kemudian ada seorang anggota, Konstabel Merom Bujak, secara sukarela mahu mengejutkan Jabu mengikut cara Gurkha (ditendang) sehingga dia terbangun.

“Sebaik terbangun, dia beritahu bermimpi buruk, namun tanpa sempat bertanya lanjut tentang mimpinya, saya mengarahkan Jabu bersiap serta menangguhkan pergerakan selama satu jam sebelum kami semua bergerak pada 8.00 pagi bagi memulakan misi,” katanya.

TUN Wan Junaidi berkata pengalaman sepanjang bertugas sebagai pegawai PPH banyak mengajarnya erti sebenar disiplin, kawalan emosi dan pertimbangan nilai kemanusiaan ketika menggalas amanah mempertahankan negara. Foto BERNAMA

Selepas kira-kira dua jam perjalanan meredah hutan tebal, pasukannya tiba di kawasan berbukit dan mereka dimaklumkan oleh pasukan peninjau tentang pergerakan mencurigakan beberapa individu yang dipercayai melarikan diri dari sebuah rumah di kawasan berhampiran.

Menurut Tun Wan Junaidi, beliau dan pasukannya bergerak ke rumah tersebut bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.

Tambahnya, setiba di rumah itu, mereka mendapati ada seorang lelaki tua, seorang wanita dan lima kanak-kanak. Situasi itu bukan sesuatu ganjil namun adanya beberapa biji cawan teh di atas meja menimbulkan kecurigaan.

“Mencurigakan kerana tidak mungkin kanak-kanak minum teh. Tambahan pula banyak sangat gelas di atas meja itu.

“Saya kemudian mengarahkan seorang anggota untuk memeriksa kawasan bukit di belakang rumah tersebut. Pemeriksaan menemukan tempat berehat pengganas komunis, sekali gus mengesahkan rumah itu dijadikan lokasi persinggahan untuk makan dan minum komunis sebelum mereka berundur ke kedudukan strategik di atas bukit,” jelasnya.

Jabu Terkorban

Bercerita lanjut, Tun Wan Junaidi berkata beliau kemudian mengetuai platunnya ke kawasan bukit sebelum kedengaran bunyi tembakan dilepaskan dari arah pihak musuh.

Dalam sekelip mata, Jabu dan Merom rebah.

Tun Wan Junaidi bergegas mendapatkan Jabu yang kemudian didapati meninggal dunia serta-merta akibat terkena tembakan, sementara Merom cedera parah.

“Masih jelas dalam ingatan saya deruan darah Jabu yang membuak-buak  keluar daripada tubuhnya itu… tidak sangka mimpi Jabu yang membuatkan dia berasa kurang enak pada pagi itu merupakan petanda buruk.

PENGALAMAN Tun Wan Junaidi sepanjang berkhidmat sebagai anggota polis turut diabadikan dalam buku bertajuk ‘A Policeman’ yang diterbitkan pada 2014, yang antara lain memuatkan pengalaman beliau ketika berdepan ancaman komunis serta maklumat berkaitan sejarah era keganasan komunis di Sarawak. Foto BERNAMA

“Selepas menyedari Jabu telah terkorban, Koperal Majani yang merupakan kawan rapat Jabu terus menerpa dan memeluk jasadnya, menangis dan meratap Why must you die?,” imbau Wan Junaidi sambil menahan sebak.

Menurutnya, Manjani yang tenggelam dalam emosi akibat kesedihan dan kemarahan selepas melihat jasad rakan baiknya bagaikan hilang pertimbangan dan mahu membunuh kesemua orang awam yang ada di rumah berkenaan.

“Dia bertindak melulu dan berpatah balik ke rumah tadi dengan niat mahu menghapuskan orang tua, wanita dan kanak-kanak yang berada di situ sambil mengacukan mesingan ringan jenis Bren ke arah mereka.

“Menyedari tindakan Majani itu, saya segera bertindak pantas dengan turun semula ke kawasan rumah tersebut serta menendang Majani bagi menggagalkan niatnya untuk membunuh, sebelum mengarahkan seorang anggota bernama Hassan mengawal ketat keadaan.

“Saya katakan kepada Hassan, saya tiada masa untuk menguruskan Majani. Jangan biarkan dia ambil senjata. Walaupun kita tahu apa yang ibu bapa mereka buat, kita tidak boleh bunuh anak-anak ini,” tegasnya.

Bagi beliau, prinsip kemanusiaan dan keselamatan orang awam tidak boleh dikompromi, walaupun dalam keadaan pertempuran dan ketika kehilangan rakan seperjuangan.

Siasatan kemudian mendapati lelaki tua itu merupakan pemimpin utama kumpulan yang menguruskan kewangan pengganas komunis di kawasan berkenaan.

“Maklumat risikan turut mendedahkan pembunuhan anggota PPH di Kem Tulai itu dilakukan oleh kumpulan dari Ngemah yang dipimpin Ubong Nuing,” katanya.

Ubong Nuing yang berketurunan Iban, merupakan ketua Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU), iaitu gerakan bersenjata komunis di Sarawak yang menentang pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1963, sebelum menyerah diri kepada pihak berkuasa pada 1980-an.

Hutan Jadi Guru Kehidupan

Wan Junaidi berkata pengalaman sepanjang bertugas sebagai pegawai PPH banyak mengajarnya erti sebenar disiplin, kawalan emosi dan pertimbangan nilai kemanusiaan ketika menggalas amanah mempertahankan negara.

Selain itu, semangat kebersamaan dalam platunnya yang terdiri daripada pelbagai kaum turut mengubah cara beliau melihat sesuatu keadaan, khususnya sebagai ketua dengan menghormati pandangan dan kepercayaan anak buah.

“Dalam platun saya, ketika bertugas di Miri,  separuh adalah Orang Ulu dan separuh lagi Iban, dengan hanya dua atau tiga orang Melayu…ketika di Sibu pula, komposisinya berubah sedikit, kebanyakannya Iban dengan sebilangan kecil Orang Ulu dan Melayu.

“Di situlah saya banyak belajar tentang budaya dan kepercayaan anggota saya. Orang Iban misalnya, mempunyai kepercayaan tertentu terhadap mimpi, bunyi-bunyian dan pelbagai petanda lain… saya belajar semua itu supaya saya dapat memahami anak-anak buah saya,” ujarnya.

Mengimbau satu lagi pengalaman ketika bertugas di dalam hutan, Tun Wan Junaidi berkata beliau pernah berdepan satu situasi yang mengajarnya akan kepentingan  memahami kepercayaan anak buah.

Menurutnya, ketika itu sekitar 7.00 malam dengan keadaan di dalam hutan mulai gelap, namun anggota platunnya masih belum mendirikan khemah untuk bermalam.

“Ketika sedang membuat khemah, tiba-tiba sebatang kayu jatuh berdekatan dengan lokasi yang hendak kami dirikan khemah. Selepas itu semua anggota pasukan saya senyap.

“Saya tidak tahu kenapa mereka semua tiba-tiba senyap dan berhenti melakukan kerja. Seorang anggota datang berjumpa saya, dia bercakap dalam bahasa Iban dan menerangkan tentang kepercayaan mereka.

“Orang Iban percaya jika kita sedang melakukan sesuatu dan perkara tidak diduga berlaku maka satu musibah akan datang,” jelasnya.

Tun Wan Junaidi yang pada ketika itu berusia 23 tahun, sedar bahawa walaupun beliau merupakan ketua, beliau tetap perlu merendah diri serta menghormati pandangan anak buahnya, khususnya mereka yang jauh lebih berusia dan berpengalaman daripadanya.

“Saya kemudian bertanya, bagaimana hendak mengatasi masalah tersebut memandangkan sudah hampir gelap dan kami belum makan serta belum menyiapkan khemah.

“Mereka berkata kita boleh berpindah lokasi dan tidak perlu jauh. Walaupun kami sudah menyediakan kayu dan bahan untuk mendirikan khemah, saya akur dan mengarahkan semua untuk berpindah,” katanya.

Menyedari kebimbangan anak buahnya boleh menjejaskan tumpuan serta semangat pasukan, Tun Wan Junaidi mengambil keputusan untuk berpindah kira-kira 100 meter dari lokasi asal.

“Semua orang gembira, kalau saya kata kami kekal di situ, mereka tidak akan gembira kerana bagi mereka bukan soal ketua mati sahaja mungkin ramai lagi yang akan terkorban sekiranya berlaku pertempuran.

“Selepas kami berpindah dan mendirikan khemah semula, barulah keadaan kembali tenang. Seorang sarjan datang dan berkata ‘Tuan, you made a very good decision’, kalau tidak anak buah mesti bimbang dan tidak boleh tidur,” katanya sambil tersenyum.

Daripada pengalaman itu, Tun Wan Junaidi berkata seorang pemimpin bukan sekadar perlu tahu bagaimana mempertahankan negara, tetapi juga harus memahami hati, kepercayaan dan kebimbangan anak buahnya.

“Di dalam hutan yang penuh ketidakpastian, kekuatan pasukan bukan hanya terletak pada senjata, tetapi pada keyakinan dan kepercayaan antara satu sama lain,” ujarnya.

Pengalaman Membentuk Kepimpinan

Pengalaman Tun Wan Junaidi sepanjang berkhidmat sebagai anggota polis turut diabadikan dalam  buku bertajuk ‘A Policeman’ yang diterbitkan pada 2014, yang antara lain memuatkan pengalaman beliau ketika berdepan ancaman komunis serta maklumat berkaitan sejarah era keganasan komunis di Sarawak.

Dilahirkan di Kampung Pendam (kini Sadong Jaya), Sarawak pada 1 Februari 1946, Tun Wan Junaidi, 80, menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia pada 1964 sebelum berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan dari 1968 hingga 1973, dan dalam tempoh itu beliau juga pernah bertugas di Kawasan Keselamatan Rajang (Rascom).

Beliau kemudiannya mengikuti pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Buckingham, England pada1978 sebelum menjadi pengamal undang-undang.

Seterusnya, beliau bergiat aktif dalam arena politik serta pentadbiran dan pernah memegang beberapa jawatan penting dalam Kabinet Persekutuan, selain dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.

Beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri bagi tempoh empat tahun bermula 26 Januari 2024 hingga 26 Januari 2028.

– Bernama