
LAWAS: Susulan hujan berterusan dan banjir kilat yang melanda daerah Limbang, satu kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di kawasan berbukit di Kampung Bukit Kota, Limbang, petang ini.
Ketua Balai Bomba Zon Tujuh Limbang, Ramlan Marajan, menasihatkan penduduk di kawasan berkenaan supaya berhati-hati ketika meninggalkan kediaman mereka.

Menurut beliau, pergerakan tanah masih berlaku dan setakat ini tiga rumah telah dikenal pasti berada dalam laluan pergerakan tanah tersebut.
Pihak bomba bersama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah memindahkan penduduk terjejas ke kawasan selamat, termasuk kediaman jiran dan saudara mara.

Beliau menambah, pihak bomba dan agensi terbabit terus memantau situasi di lokasi kejadian bagi memastikan tiada insiden yang tidak diingini berlaku.
Oleh Adeng Edrus