Beberapa perkara MA63 termasuk pentadbiran pendidikan, kesihatan hampir dimuktamadkan

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof merakamkan gambar kenangan bersama penerima sumbangan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat dan Pek Makanan di Surau Darul Ikhlas TM Sarawak Hub di Petra Jaya, hari ini. Foto Shahrul Qaizat

PETRA JAYA: Beberapa perkara berkaitan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk aspek pentadbiran melibatkan sektor pendidikan dan kesihatan, kini hampir dimuktamadkan di peringkat teknikal.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, perkara tersebut dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 yang turut melibatkan wakil Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah.

Menurut beliau, mesyuarat itu bertujuan mengemas kini laporan berkaitan perkara yang telah dipersetujui serta yang masih dalam peringkat perbincangan.

“Mesyuarat jawatankuasa teknikal MA63 baru-baru ini melibatkan wakil daripada Kerajaan Persekutuan, semua kementerian berkaitan serta wakil daripada Sarawak dan Sabah.

“Antara tujuan utama adalah untuk mendapatkan kemas kini pelaporan mengenai perkara-perkara yang telah dipersetujui dan juga yang masih belum dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat dan Pek Makanan di Surau Darul Ikhlas TM Sarawak Hub di sini, hari ini.

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof menyampaikan sumbangan zakat kepada penerima sumbangan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat dan Pek Makanan di Surau Darul Ikhlas TM Sarawak Hub di Petra Jaya, hari ini. Foto Shahrul Qaizat

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, antara perkara yang telah diselesaikan termasuk isu berkaitan Pelabuhan Bintulu.

Menurutnya, pembentangan khas dalam mesyuarat tersebut turut melibatkan Kementerian Pendidikan serta Kementerian Kesihatan.

“Dari segi pentadbiran dan beberapa perkara lain, banyak juga yang telah dipersetujui termasuk perkara yang boleh diberi serah kuasa kepada Sarawak dan Sabah,” katanya.

Beliau berkata semua perkara yang dipersetujui di peringkat teknikal itu akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk pengesahan.

“Ini masih di peringkat teknikal, jadi ia perlu diluluskan terlebih dahulu sebelum dibawa ke peringkat majlis tertinggi.

“Apabila ia telah dipersetujui oleh majlis yang dipengerusikan Perdana Menteri dan dihadiri Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, barulah ia boleh diumumkan secara rasmi,” jelasnya.

Beliau menambah, mesyuarat MTPMA63 biasanya diadakan dua kali setahun dan dijangka berlangsung sekitar Mei atau Jun depan.

Pada majlis tersebut Fadillah Yusof, menyampaikan sumbangan zakat dan pek makanan kepada 60 asnaf dari kawasan Petra Jaya.

Oleh Shahrul Qaizat

Kepulangan terakhir Koperal Chiu, keluarga iringi penghormatan terakhir

SIBU: Di sebalik kepulangan jenazah Koperal Chiu Teck Siong ke kampung halamannya hari ini, balu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu hanya mampu memikirkan masa depan lima anak mereka yang masih kecil, terutama soal pendidikan selepas kehilangan tonggak keluarga dalam tragedi renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, semalam. Tan Wei Wei, 39, berkata, keutamaan beliau ketika ini ialah memastikan kelima-lima anak mereka mendapat pembiayaan pendidikan yang mencukupi memandangkan mereka masih kecil. “Yang saya fikir sekarang ialah pendidikan masa depan mereka. Mereka semua masih kecil, sedangkan gaji suami bukanlah besar,” ujarnya ketika ditemui di Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima di sini, lewat petang tadi. Beliau berkata, lima anak mereka masing-masing berusia 11, 10, sembilan, tujuh dan empat tahun. Menurutnya, empat anak yang lebih besar bersekolah di SJK(C) Tung Hua, Sibu, manakala anak bongsu mengikuti pendidikan prasekolah di Tadika Sing Antong. Tan berkata, mendiang suaminya telah lama berhasrat untuk dipindahkan semula bertugas ke Sibu supaya dapat tinggal bersama keluarga, namun hasrat itu tidak kesampaian. “Memang sudah lama dia hendak berpindah balik ke sini, tetapi belum berjaya,” katanya. Beliau berkata, kali terakhir anak-anak dapat meluangkan masa bersama bapa mereka ialah ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu. Koperal Chiu, 40, merupakan antara tiga anggota polis yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah logam untuk mengambil kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah, semalam. Jenazah beliau diterbangkan dari Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu dan tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 5.50 petang. Van yang membawa jasad mendiang kemudian diiringi kenderaan polis serta ahli keluarga ke Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima. Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di dewan berkenaan pada 7.30 pagi esok sebelum mendiang dibawa ke Nirvana Memorial Park untuk upacara pembakaran. Abu mendiang kemudian akan disemadikan di Methodist Grace Memorial Park di Jalan Kemuyang. Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Ketiga-tiga mereka bertugas di Balai Polis Weston, Beaufort. Oleh Akun Giman