
LINGGA: Pendidikan anak-anak perlu bermula dari rumah dengan ibu bapa memainkan peranan sebagai guru pertama dalam membentuk asas sahsiah dan jati diri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, dengan sokongan berterusan daripada guru di sekolah serta dokongan komuniti setempat, usaha melahirkan generasi cemerlang bukan sahaja dalam akademik, malah mempunyai nilai sahsiah tinggi dapat direalisasikan.
Menurutnya, pendekatan holistik yang menggabungkan peranan keluarga, sekolah dan masyarakat amat penting dalam memastikan pembangunan pendidikan anak-anak berjalan secara menyeluruh dan seimbang.

“Sesungguhnya, pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa adalah guru pertama kepada anak-anak.
“Dengan sokongan guru di sekolah dan komuniti, kita mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga mempunyai sahsiah dan jati diri yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Motivasi Pelajar Tahun 6 dan Ceramah Bimbingan Ibu Bapa serta Advokasi Kanak-Kanak yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee di Dewan Serbaguna Lingga, semalam.

Program tersebut berjaya menghimpunkan seramai 205 peserta yang terdiri daripada pelajar, guru dan ibu bapa, sekali gus membuktikan komitmen tinggi masyarakat dalam memberi perhatian terhadap masa depan pendidikan anak-anak di kawasan itu.
Katanya, penglibatan pelajar daripada pelbagai sekolah seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Bakong, SK Pulau Seduku, SK Saint Paul (M) Banting, SK Tanjung Bijat, SK Lela Pahlawan, SK St. Dunstan, SK Gran Stumbin serta Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Lingga membuktikan usaha memperkasa pendidikan merupakan tanggungjawab bersama.

Tambah Dayang Noorazah, program seumpama itu bukan sahaja memberi motivasi kepada pelajar Tahun Enam, malah meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai peranan mereka dalam pendidikan serta kepentingan advokasi hak dan kebajikan kanak-kanak.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pelajar agar memanfaatkan peluang yang ada dengan sebaiknya serta menanam sikap disiplin, usaha dan keyakinan diri sebagai asas kejayaan.
Dayang Noorazah turut menyeru ibu bapa agar terus memberikan sokongan dan perhatian kepada anak-anak kerana kehadiran serta dorongan mereka memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan generasi muda, selaras dengan aspirasi Sarawak Maju Makmur.
Oleh Adi Safarman