KUCHING: Komitmen kerajaan Sarawak dalam mengekalkan 62 peratus litupan hutan secara signifikan menyumbang kepada matlamat negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus tanah di bawah pokok atau hutan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha itu juga adalah langkah penting ke arah mencapai matlamat kemampanan Sarawak.
”Selain itu, ia diperkaya dengan menyepadukan ‘Rainforest Wisdom & Insights’, memanfaatkan pengetahuan orang asli dan amalan tradisional dalam pengurusan hutan hujan yang mampan.
”Pendekatan proaktif kita termasuk strategi yang teguh untuk mengurangkan pelepasan karbon termasuk penggubalan Rang Undang-undang Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023 yang pertama di Malaysia.
“Selain itu, Peraturan Kanun Tanah Sarawak (Penyimpanan Karbon) 2022 dan Peraturan Hutan (Aktiviti Karbon Hutan) 2022 merupakan usaha perintis ke arah matlamat pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika majlis perasmian RAYS 2024 di Hikmah Exchange Event Centre, di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, katanya penyertaan aktif Sarawak dalam inisiatif alam sekitar adalah bukti komitmen negeri itu terhadap kerjasama dan perpaduan serantau.
Tambahnya, pertukaran pandangan serta pendapat dan pembelajaran silang budaya adalah penting untuk menangani cabaran alam sekitar global.
”RAYS2024 menyediakan platform untuk belia dari pelbagai latar belakang untuk berinteraksi, bertukar idea dan belajar antara satu sama lain.
”Kepelbagaian ini memperkaya dialog mengenai pemuliharaan hutan hujan dan memastikan bahawa penyelesaian yang kami bangunkan adalah inklusif, holistik dan relevan dari segi budaya,” jelasnya.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datu Sherrina Hussaini, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Morshidi Fredrick, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Dato Dennis Ngau dan Ketua Pegawai Eksekutif STB Sharzede Salleh Askor.
Oleh Rynna Sha’erra