KUCHING: Seramai 105 peserta menerima Sijil Pengiktirafan Pendidikan Tidak Formal Sarawak (IFE) – Kemahiran dan Produktiviti sebagai pengiktirafan terhadap kemahiran serta pengalaman yang diperoleh menerusi pembelajaran tidak formal.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, inisiatif berkenaan mengiktiraf kemahiran yang diperoleh masyarakat melalui pengalaman kerja, keusahawanan, penglibatan dalam komuniti, pengalaman praktikal dan pembelajaran sepanjang hayat.
Menurutnya, inisiatif Sarawak IFE – Kemahiran dan Produktiviti itu merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia, sekali gus memberi pengiktirafan kepada kemahiran yang diperoleh di luar laluan pendidikan formal.
“Ramai dalam kalangan masyarakat kita memperoleh kemahiran berharga melalui pengalaman bekerja, keusahawanan, penglibatan dalam komuniti dan pengalaman hidup.
“Melalui inisiatif ini, kita menyediakan ruang supaya kemahiran dan pengalaman tersebut dapat diiktiraf serta dihargai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran dan penyampaian Sijil Pengiktirafan Pendidikan Tidak Formal Sarawak (IFE) – Kemahiran dan Produktiviti di Menara LCDA, The Isthmus, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Sagah berkata, antara hasil penting inisiatif berkenaan ialah kerjasama antara Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dengan Rumah Seri Kenangan Kuching yang memberi peluang kepada 17 peserta dalam bidang Penjagaan Warga Emas untuk melanjutkan pengajian menerusi kaedah pembelajaran hibrid.
Katanya, program berkenaan melibatkan CENTEXS Dalat, Rumah Seri Kenangan Kuching dan MissiCare Elderly Care Centre serta menjadi antara laluan awal di bawah inisiatif IFE bagi membolehkan peserta melanjutkan pendidikan, meningkatkan kemahiran dan membina kerjaya.
“Bagi menyokong pelaksanaan program ini, sebanyak RM473,761 diperuntukkan menerusi sokongan kerajaan Sarawak, khususnya Yayasan Sarawak dan CENTEXS,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Dr Mohamad Norjayadi Tamam berkata, pendekatan IFE membantu menjadikan kemahiran berasaskan pengalaman lebih mudah dikenal pasti dan diiktiraf menerusi penilaian praktikal.
Menurutnya, pengiktirafan tersebut juga boleh menjadi asas kepada pembelajaran sepanjang hayat melalui laluan pendidikan tidak formal serta pendidikan formal termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan kelayakan akademik.
Beliau berkata, kerjasama berkenaan turut memberi nilai tambah kepada laluan pendidikan sedia ada dengan membuka ruang kepada masyarakat untuk membangunkan kemahiran yang diperoleh di luar bilik darjah.
Sagah berkata, inisiatif IFE turut diharap dapat diperluas kepada lebih banyak sektor, komuniti dan kumpulan di seluruh Sarawak bagi mewujudkan ekosistem yang mengiktiraf serta membangunkan kemahiran masyarakat.
Menurutnya, pengiktirafan terhadap kemahiran tidak formal juga penting dalam membantu individu meningkatkan produktiviti, memperkukuh keupayaan serta mengakses peluang pendidikan dan kerjaya yang lebih luas.
Oleh Adele Rissa





