
BINTANGOR: Lawatan ke rumah panjang bukan sekadar tradisi tahunan, malah menjadi medium penting bagi memastikan suara rakyat terus didengari dan diberi perhatian sewajarnya.
Program lawatan ke rumah panjang diteruskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing bersama isterinya, Datin Kueh Nai Fun dan rombongan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor semalam.
Mereka berkunjung ke beberapa rumah panjang di kawasan Sungai Stubah, Sungai Pilit, Sungai Meradong dan Sungai Gemuan.
Walaupun sambutan perayaan Gawai Dayak telah berakhir, kehadiran rombongan masih menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk rumah panjang yang terus mengekalkan semangat perpaduan dan kemesraan dalam komuniti.
Dalam ucapannya, Koung Hiing yang juga yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor melahirkan rasa gembira kerana dapat meneruskan tradisi lawatan ke rumah panjang yang dilaksanakan saban tahun sebagai usaha memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.
“Kunjungan ini merupakan platform terbaik untuk bertemu secara langsung dengan penduduk, mendengar permasalahan yang disuarakan oleh tuai rumah serta meninjau sendiri keperluan dan permohonan komuniti setempat.
“Ini bukan sekadar kunjungan biasa, tetapi satu pendekatan mesra rakyat bagi memastikan suara penduduk di kawasan Meradong terus diberi perhatian pada setiap lawatan di rumah panjang,” katanya ketika ditemui media.

Katanya, pendekatan turun padang secara konsisten membolehkan pelbagai isu dan keperluan masyarakat dikenal pasti dengan lebih dekat, sekali gus memudahkan tindakan susulan oleh pihak berkaitan.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa kawasan Meradong bertuah kerana mempunyai dua wakil rakyat yang sentiasa komited terhadap kebajikan rakyat iaitu beliau sendiri dan Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
“Kerjasama erat antara kami sebagai wakil rakyat membolehkan pelbagai projek pembangunan dan bantuan kepada rakyat dilaksanakan secara berterusan demi kesejahteraan masyarakat.
“Selain itu, kawasan luar bandar seperti Meradong akan terus diperkasakan selagi Sarawak dipimpin oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pelbagai dasar dan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat pelbagai lapisan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelbagai insentif telah disediakan oleh kerajaan Sarawak kepada rakyat yang memiliki status âKâ dalam kad pengenalan, termasuk bantuan kepada ibu yang melahirkan anak, warga emas, golongan bujang dan berkeluarga serta pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk rumah panjang agar terus memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat dan pembangunan negeri demi kesejahteraan generasi akan datang.
Oleh Earl Anek