KUCHING: Susulan keadaan jerebu yang semakin buruk di seluruh Sarawak, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terhadap gejala kesihatan yang mungkin timbul akibat pendedahan kepada udara tercemar.
Bahagian Pendidikan Kesihatan Sarawak, Kementerian Kesihatan (KKM)/MyHealthKKM menerusi media sosial memaklumkan bahawa pendedahan kepada jerebu boleh menjejaskan kesihatan, khususnya golongan yang berisiko.
“Antara tanda-tanda yang perlu diberi perhatian ialah mata pedih atau berair, hidung berair, kerap bersin, tekak gatal, batuk, kulit gatal, sakit kepala, pening serta kesukaran bernafas atau sesak nafas,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan menghentikan aktiviti luar dan mengurangkan pendedahan kepada jerebu, terutama apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencapai tahap tidak sihat atau lebih tinggi.
“Dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan sekiranya gejala berterusan atau bertambah teruk,” katanya.
Orang ramai turut digesa sentiasa memantau perubahan kualiti udara dan mengambil langkah berjaga-jaga sewajarnya bagi melindungi kesihatan diri serta keluarga sepanjang musim jerebu.
Sementara itu, berdasarkan data Natural Resources and Environment Board (NREB) Sarawak Daily Haze Watch setakat hari ini, walaupun jerebu tebal masih menyelubungi sebahagian besar negeri, terdapat trend penurunan bacaan IPU.
Setakat 10.00 pagi hari ini, bacaan IPU adalah seperti berikut:
- IPD Serian: 309 (Sangat Berbahaya)
- Lubok Antu: (Sangat Berbahaya)
- Kuching: 318 (Berbahaya)
- Lundu: 382 (Berbahaya)
- Tebedu: 270 (Berbahaya)
- Samarahan: 292 (Berbahaya)
- Sri Aman: 221 (Berbahaya)
- Kanowit: 323 (Berbahaya)
- Sarikei: 275 (Berbahaya)
- Sibu: 284 (Berbahaya)
Oleh Connie Chieng




