
KUALA LUMPUR, 18 Jun -- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi memberi ucapan pada majlis pengenalan kempen Aeon 626 di Cawangan Aeon Taman Maluri hari ini. -- fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA KUALA LUMPUR, 18 June -- Domestic Trade and Consumer Affairs Minister Datuk Alexander Nanta Linggi delivering his speech during the launch of the Aeon 626 campaign at the Aeon Branch of Taman Maluri today. -- fotoBERNAMA (2020) COPY RIGHTS RESERVED

PUTRAJAYA: Pendapatan perniagaan francais mengalami kemerosotan ketara ketika tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19 terutama subsektor makanan dan minuman, yang mencatatkan penyusutan sehingga 70 peratus, serta subsektor pendidikan sehingga 80 peratus.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pada masa sama, aktiviti jual beli dalam talian merekodkan lonjakan luar biasa dengan peningkatan sebanyak 28.9 peratus pada April 2020.
Beliau berkata, platform dalam talian menjadi saluran pembelian alternatif kerana pengguna tidak boleh melakukan perjalanan semasa PKP sejak 18 Mac lepas.
“Industri francais merupakan antara industri yang penting, dengan sumbangan yang signifikan kepada ekonomi negara,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Persatuan Francais Malaysia (MFA) dengan platform beli-belah dalam talian, Shopee, di sini semalam.
Beliau berkata, sehingga kini terdapat 583 francaisor tempatan dan 63 francaisor asing telah berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Nanta berkata nilai jualan industri francais tahun ini mungkin tidak dapat mencapai kejayaan yang dicatat pada tahun-tahun lepas kerana kesan daripada Covid-19.
Beliau berkata, berdasarkan Laporan Tahunan Perniagaan Francais pada 2018, industri francais mencatatkan nilai jualan melebihi RM11 bilion dan angka tersebut dijangka meningkat kepada RM13 bilion pada 2019.
Dalam pada itu, kerjasama MFA dan Shopee tersebut akan memberi manfaat kepada 509 penggiat francais apabila mereka dapat membuka kedai rasmi, mempromosikan baucar pembelian atau produk menerusi dalam talian.
Nanta berharap kerjasama MFA dan Shopee itu dapat membantu usaha memulihkan ekonomi negara setelah wabak Covid-19 mendorong perubahan trend pengguna daripada membeli di kedai fizikal kepada platform dalam talian. – Bernama