Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Pendaki dinasihat jangan mendaki bersendirian, maklumkan lokasi kepada keluarga
  • TEMPATAN

Pendaki dinasihat jangan mendaki bersendirian, maklumkan lokasi kepada keluarga

Utusan Sarawak 4 hours ago
DATO Sri Nancy Shukri mencuba ketepatan sasaran menggunakan lastik semasa menyertai aktiviti pada Program Mahasiswa Prihatin dan Jejak Hijau di Pantai Trombol, Kuching, hari ini.

KUCHING: Orang ramai yang gemar melakukan aktiviti pendakian dinasihatkan supaya tidak melakukan aktiviti tersebut secara bersendirian serta memaklumkan lokasi dan laluan pendakian kepada ahli keluarga atau pihak berkaitan bagi memudahkan usaha mencari dan menyelamat sekiranya berlaku kecemasan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, pelbagai peringatan dan nasihat telah diberikan oleh pihak berkuasa termasuk polis dan bomba, namun aspek keselamatan masih perlu diberi perhatian serius oleh semua pendaki.

Menurut beliau, individu yang ingin melakukan aktiviti pendakian perlu membuat persediaan awal termasuk mendapatkan maklumat lengkap mengenai lokasi yang ingin diterokai serta memastikan ada pihak yang mengetahui pergerakan mereka.

“Kalau boleh jangan pergi seorang. Pergi berteman dan buat kajian mengenai lokasi yang hendak dituju. Pastikan juga ada pihak berkuasa atau ahli keluarga yang mengetahui kita ingin pergi ke kawasan tersebut.

“Apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini, ia tidak akan menyukarkan usaha mencari dan menyelamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Mahasiswa Prihatin dan Jejak Hijau di Pantai Trombol di sini, hari ini.

Nancy berkata, pendakian secara berpasangan atau berkumpulan dapat membantu mempercepatkan usaha mengesan mangsa sekiranya berlaku insiden tersesat atau kecederaan di kawasan hutan dan pergunungan.

Katanya, pendaki juga perlu mendapatkan latihan asas atau pendedahan berkaitan aktiviti lasak sebelum menyertai pendakian, selain memahami keadaan muka bumi dan risiko yang terdapat di lokasi berkenaan.

“Bukan sahaja wanita, tetapi sesiapa yang ingin melakukan aktiviti hiking perlu mendapatkan maklumat secukupnya mengenai tempat yang hendak dikunjungi supaya mereka lebih bersedia.

“Keluarga juga perlu tahu lokasi yang dituju dan kalau boleh jangan pergi seorang kerana ia amat membahayakan. Teman yang bersama boleh membantu menunjukkan lokasi kepada pasukan penyelamat sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada komuniti setempat yang sering membantu operasi mencari dan menyelamat melibatkan pendaki yang dilaporkan hilang atau sesat di kawasan pedalaman.

Kebimbangan terhadap aspek keselamatan pendaki timbul susulan peningkatan kes pendaki sesat di seluruh negara.

Sepanjang lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 52 kes melibatkan 114 pendaki direkodkan berbanding 40 kes membabitkan 88 mangsa dalam tempoh sama tahun lalu.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: SUPP kekal relevan selepas 67 tahun, kestabilan politik jadi pemacu kemajuan Sarawak
Next: Ular kapak bersembunyi dalam almari kasut berjaya ditangkap anggota APM Marudi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.