SIMANGGANG: Seorang pencinta seni khat dari Jalan Stawang di sini iaitu telah melakukan amalan wakaf bertempat di Masjid Lama, Kampung Tengah dalam bandar ini malam kelmarin.
Menerusi amalan wakaf tersebut, Abdul Karim Wen, 66, telah pun bertindak menyumbang bingkai khat berbentuk ayat suci al-Quran kepada Imam merangkap Pengerusi Masjid Lama, Kampung Tengah iaitu Abang Razali Abang Ramlie.
Beliau ketika ditemui memberitahu tujuan utama amalan wakaf itu diadakan adalah untuk memuliakan lagi sambutan Maulidur Rasul yang telah disambut oleh umat Islam di seluruh dunia pada akhir Oktober lepas.
“Selain memuliakan sambutan Maulidur Rasul, amalan wakaf ini turut membolehkan saya mengejar pahala di dunia dan akhirat secara berterusan walaupun sesudah meninggalkan dunia ini kelak.
“Atas sebab itulah saya memilih untuk terus aktif melakukan amalan wakaf ini disebabkan oleh faktor usia dan akan terus berbuat demikian selagi mempunyai kemampuan dari masa ke semasa,” kata Karim.
Beliau turut menambah bahawa adalah amat baik jika umat Islam dapat melaksana amalan wakaf ketika usia semakin ‘senja’ kerana mereka akan dapat membantu masyarakat untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik tanpa nilai wakaf itu.
“Justeru sebagai salah seorang individu muslim maka saya mengajak rakan-rakan seumat untuk sama-sama melakukan amalan wakaf demi memakmurkan lagi kesejahteraan hidup masyarakat di Sri Aman pada masa akan datang,” kata Karim.
Pengiat seni kraf tangan itu sebelum ini juga pernah mengambil kesempatan untuk melaksana amalan wakaf menerusi Program Ziarah dan Ceramah Sanubari Ummah 2020 di masjid tersebut pada akhir bulan Ogos lepas.
Oleh VALENTINE NGUMBANG