PUTRAJAYA: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur bawah 55 tahun dibenar membuat pengeluaran dari Akaun 2 masing-masing bermula 1 April depan bagi meringankan beban mereka ketika menghadapi cabaran Covid-19.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata initiatif pengeluaran i-Lestari itu dijangka akan memanfaatkan sehingga 12 juta ahli KWSP, dengan jumlah pengeluaran yang dianggarkan bernilai RM40 billion.
Menerusi kemudahan ini, semua ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan, katanya dalam sidang media di sini semalam.
“Saya berharap inisiatif ini dan juga pengurangan kadar caruman KWSP pekerja sebanyak empat peratus yang berkuatkuasa pada bulan April 2020, akan membolehkan para pekerja mempunyai lebih wang dalam poket masing-masing, untuk membeli barang-barang keperluan harian,” katanya.
Muhyiddin turut menasihat kepada semua yang akan menerima manfaat itu, agar menggunakan wang yang dikeluarkan sebaik mungkin.
“Beli barang-barang yang perlu sahaja dalam waktu yang agak sukar ini. Yang penting, pastikan setiap hari ada makanan di atas meja untuk seisi keluarga,” katanya.
Wang itu juga menurut Perdana Menteri sebahagiannya, boleh digunakan untuk menampung bayaran bil air atau bil elektrik atau sewa rumah, mengikut keperluan masing-masing.
“Walaupun jumlahnya mungkin tak seberapa, tetapi inilah wang hasil titik peluh anda sendiri, yang sepatutnya digunakan untuk hari tua, tetapi kerajaan benarkan wang ini digunakan pada masa ini, memandangkan ada dalam kalangan saudara-saudari yang memerlukan.
“InsyaAllah, jika wang ini digunakan secara berhemah, akan ada keberkatannya untuk saudara dan saudari seisi keluarga,” kata Perdana Menteri.
Inisiatif pengeluaran i-Lestari adalah antara empat inisiatif yang diputuskan kerajaan selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi hari ini, yang diharap dapat membantu meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh rakyat ketika melalui waktu yang sukar ini. – Bernama