SIMANGGANG: Sebanyak 34 keluarga di rumah panjang Rumah Japing Nyakai Baroh akan menerima manfaat besar hasil daripada projek pembinaan jambatan gantung menyeberangi Sungai Undop yang menelan kos RM330,000.
Tuai Rumah Japing Gema, 59, berkata,dengan siapnya pelaksanaan jambatan gantung itu akan memberi manfaat kepada pekebun serta petani untuk mengangkut keluar hasil pertanian mereka yang sebelum ini mengalami kepayahan bergantung kepada perahu.
“Saya sebagai penduduk di sini berasa amat gembira kerana mendapat kemudahan jambatan untuk kegunaan penduduk, di mana sebelum ini penduduk atau golongan petani hanya menggunakan perahu untuk ke kawasan seberang.
“Oleh sebab itulah saya telah memohon kepada wakil rakyat di sini untuk membina jambatan ini untuk para petani memungut dan membawa keluar hasil pertanian, lebih-lebih lagi di kawasan ini banyak hasil buah-buahan seperti buah dabai dan buah langsat,”katanya semasa ditemui Utusan Sarawak dekat sini semalam.
Japing berkata, jambatan itu disiapkan dalam tempoh empat bulan dilaksanakan dibawah projek Transformasi Luar Bandar (RTP), Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang.
“Kami penduduk di sini amat berbangga dan gembira atas usaha Kerajaan Sarawak yang segera meluluskan serta melaksanakan projek tersebut yang telah lama ditunggu-tunggu oleh penduduk kampung di sini.
“Pembinaan jambatan ini sekali gus menjadi petanda jelas Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) benar-benar komited dalam memajukan rakyat kawasan pedalaman.
“Penduduk 34 keluarga rumah panjang ini harus memperolehi manfaat besar daripada pembinaan jambatan merentangi Sungai Undup yang dinanti-nantikan itu,” ujar beliau.
Jelasnya, dengan siap jambatan itu juga akan membantu merancakkan ekonomi penduduk bagi membangunkan tanah mereka di kawasan seberang sekaligus menyahut cabaran Kerajaan Sarawak membangunkan aktiviti pertanian moden di negeri ini.
“Pembinaan jambatan itu memberi impak yang tinggi dalam konteks pembangunan sosioekonomi kawasan luar bandar,” katanya.
Oleh Adi Safarman