PETRA JAYA, 6 November: Pemimpin parti politik dari Semenanjung tidak perlu turun berkempen di Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 bagi memberi ruang kepada parti tempatan menentukan hala tuju politik wilayah ini.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, walaupun sistem demokrasi membenarkan pemimpin dari Semenanjung datang berkempen, beliau berpendapat pilihan raya negeri itu lebih wajar ditentukan oleh parti dan rakyat Sarawak sendiri.
Jelasnya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga tidak menghantar pasukan atau pemimpin untuk membantu parti tertentu ketika pilihan raya di Semenanjung, termasuk di Johor, Selangor dan Melaka.
“Kalau pemimpin Semenanjung daripada parti politik mahu datang pada masa ini, saya rasa tak perlulah. Biarkan pilihan raya Sarawak ditentukan oleh parti tempatan.
“Begitu juga GPS, apabila ada pilihan raya di Semenanjung, kita tidak menghantar pasukan untuk menyokong parti tertentu,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabat beliau di Baitul Makmur 2, hari ini.
Menurutnya, calon yang bertanding di Sarawak akhirnya akan bertanggungjawab menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat di kawasan masing-masing.
Bagaimanapun, Abdul Karim menegaskan pendiriannya itu bukan bermaksud pemimpin Semenanjung dilarang sama sekali memasuki Sarawak atau berkempen kerana hak tersebut masih dilindungi dalam amalan demokrasi berparlimen.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Sarawak akan terus mengekalkan pendekatan sedia ada terhadap individu tertentu yang tidak dibenarkan memasuki wilayah ini, termasuk ahli politik dan pendakwah yang mempunyai pandangan atau pendekatan ekstrem.
Katanya, individu yang dianggap mempunyai kecenderungan sedemikian dikhuatiri boleh menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk serta kesejahteraan rakyat Sarawak.
PRU DUN Sarawak ke-13 menyaksikan hari penamaan calon pada 28 November, pengundian awal pada 8 Disember dan hari mengundi pada 12 Disember ini.
Oleh Afiq Sallehi




