
LAWAS: Semua agensi kerajaan dan jabatan bersama barisan pemimpin masyarakat perlu memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat berhubung segala dasar dan program kerajaan.
Ini melibatkan bantuan yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada mereka yang memerlukan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu kerajaan sentiasa peka dengan kehendak masyarakat, terutama golongan yang memerlukan bantuan.
“Semua pihak termasuk jabatan kerajaan dan kepimpinan masyarakat harus memainkan peranan sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat bagi memastikan setiap bantuan yang disediakan sampai kepada golongan sasar,” katanya pada majlis Sejambak Kasih Sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 di sini, hari ini.

Jurang maklumat antara rakyat dan kerajaan telah menyebabkan mereka kurang pemahaman berhubung dengan segala dasar dan program yang telah kerajaan laksanakan.
“Ada jurang maklumat yang berlaku oleh itu banyak dasar bagus program bagus tidak diketahui disebabkan oleh adanya jurang tadi, lebih-lebih lagi diluar-luar bandar akhirnya mereka tidak menikmati apa yang kita cuba nak bantu melalui dasar-dasar tersebut.
“Menjadi tanggungjawab kita bersama, bukan sahaja jabatan kebajikan tetapi semua kita jabatan, pejabat daerah, pejabat Residen kalau boleh kita atur bersama-sama dengan jabatan lain, badan bukan kerajaan. Tentunya JKM untuk kita bagi maklumat penerangan dan macam mana cara memohonnya dan bagaimana mekanisme perlaksanaannya ini perlu kita terangkan,” tambahnya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohamad Razi Sitam berkata, seramai 1,215 penerima bantuan daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Limbang yang menyambut Aidilfitri akan menerima sumbangan perayaan.
Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 100 klien telah dijemput menghadiri majlis hari ini, manakala selebihnya akan menerima bantuan melalui akaun bank.
Beliau berharap majlis Sejambak Kasih Raya Bahagian Limbang 2025 dapat membantu penerima dan menjadi contoh kepada masyarakat setempat.
Selain itu, beliau turut menggesa agar kepimpinan masyarakat terus bekerjasama dengan JKM dalam merealisasikan visi dan misi jabatan untuk kebajikan rakyat.
Oleh Adeng Edrus