LUBOK ANTU: Program Libat Urus Skuad Aman Wanita (Amanita) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu menerusi sesi bertemu dan beramah mesra bersama masyarakat berjaya memperkukuh hubungan antara polis dengan komuniti setempat, khususnya golongan wanita.
Menurut kenyataan IPD Lubok Antu, program yang dilaksanakan semalam itu berlangsung di Rumah Tunai, Nanga Bengap, Rumah Budit Beretik dan Rumah Embuas, Nanga Jengin, Lubok Antu.
Program berkenaan disertai empat anggota Amanita IPD Lubok Antu yang diketuai Ketua Polis Balai Lubok Antu, Sarjan Mejar Nur Erdina Marini @ Dorothy Bernard Betti, bersama Sarjan Coroline Melina, Sarjan Peggy Jemai Ingkon dan Konstabel Nor Syahirah Palmor.
Hasil program tersebut, seramai 12 ahli Rakan Amanita berjaya didaftarkan, manakala tiada pendaftaran Volunteer Smartphone Patrol (VSP) direkodkan.
Dalam sesi berkenaan, anggota Amanita turut memperkenalkan peranan serta fungsi skuad berkenaan kepada masyarakat, selain memberikan penerangan mengenai aspek pencegahan jenayah dan keselamatan keluarga.
Antara perkara yang turut diberi perhatian termasuk isu keganasan rumah tangga, penipuan dalam talian atau scammer serta saluran yang boleh digunakan masyarakat untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
Menurut IPD Lubok Antu, program berjalan lancar dan menerima maklum balas yang baik daripada penduduk setempat.
Inisiatif sedemikian turut dilihat dapat membuka ruang komunikasi yang lebih dekat antara PDRM dan masyarakat, selain menggalakkan golongan wanita tampil berkongsi maklumat serta mendapatkan bantuan sekiranya berdepan isu keselamatan atau jenayah.
Program Amanita itu sekali gus memperlihatkan usaha berterusan PDRM dalam memperkukuh pendekatan kepolisan komuniti serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai aspek keselamatan di kawasan luar bandar.
Oleh Adi Safarman




