KUCHING: Anugerah Kecemerlangan Industri Premier Sarawak (PSIEA) yang diadakan setiap dua tahun sejak 2017 akan dianjurkan semula pada 2025 dengan kerjasama strategik Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) dan kerajaan Sarawak menggunakan kriteria penilaian Rangka Kerja Kecemerlangan Perniagaan Malaysia (MBEF).
Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Sarawak, Dr Mazlina Shafi’i berkata, Pemenang PSIEA berpeluang mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan iaitu Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI).
“Anugerah ini telah memperkukuh kecemerlangan dan daya saing organisasi di Sarawak, memberikan impak positif terhadap ekonomi negeri. PSIEA seterusnya akan dilaksanakan pada tahun depan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MPC Sarawak di Kuching, hari ini.
Menurut Dr Mazlina Shafi’i, sebanyak 94 organisasi pelbagai saiz dari sektor pembuatan dan perkhidmatan telah turut serta dalam PSIEA sejak pelaksanaannya pada 2017.
Anugerah ini, katanya, telah mencipta anggaran nilai sebanyak RM188 juta.
Sebagai organisasi yang bertanggungjawab dalam memacu produktiviti negara, jelasnya, MPC sentiasa mencari pendekatan yang inovatif dan berkesan untuk membantu sektor awam dan swasta dalam meningkatkan keberkesanan operasi dan pengurusan mereka.
Katanya lagi, MPC akan terus mempromosikan anugerah ini dan mengadakan sesi bimbingan MBEF kepada organisasi yang berminat.
“Usaha ini bertujuan memperluas penyertaan dan meningkatkan lagi standard kecemerlangan di kalangan organisasi di Sarawak.
“Sesi ini yang dirancang dengan teliti untuk memberikan nilai tambah kepada semua pihak yang terlibat terutamanya kepada MPC bagi mempromosikan inisiatif dan program, yang saya percaya akan memberikan manfaat bagi kecemerlangan organisasi di Sarawak.
“Saya percaya bahawa dengan sokongan padu daripada semua pihak, inisiatif dan program anjuran MPC ini akan dapat mencapai objektifnya sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara serta negeri secara keseluruhan,” katanya.
Pada masa sama, Dr Mazlina Shafi’i turut memaklumkan bahawa MPC Sarawak telah menganjurkan Sesi Perkongsian Amalan Terbaik Kecemerlangan Perniagaan (BE) bertemakan Transformasi Ke Arah Kecemerlangan Organisasi pada 9 September di Dewan Produktiviti, MPC Sarawak.
Antara wakil-wakil dari organisasi yang telah memperoleh kejayaan dalam PSEIA ialah Senari Synergy Sdn Bhd dan IMetal (M) Sdn Bhd dan wakil Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).
Dr Mazlina Shafi’i turut mendedahkan bahawa JAIS merupakan institusi Islam pertama di Sarawak yang telah memperolehi sijil MBEF.
Sementara itu, pada 11 September, MPC Sarawak akan menganjurkan Program Business Excellence (BE) Introduction Session melalui platform atas talian.
Program ini terbuka kepada organisasi awam dan swasta di Sarawak yang ingin meningkatkan kecemerlangan organisasi ke tahap yang maksima.
“Saya juga menyeru agar organisasi awam dan swasta berkolaborasi bersama MPC Sarawak bagi melaksanakan intervensi Kecemerlangan Perniagaan (BE) seperti yang telah dilaksanakan di JAIS, Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dan Grand Margherita Hotel, Kuching.
“Ketiga-tiga organisasi ini telah melaksanakan intervensi BE yang telah mengambil masa empat hingga enam bulan serta telah diktiraf penerima sijil MBEF di Sarawak.
“Saya menyeru agar organisasi-organisasi yang belum melaksanakan BE untuk mempertimbangkan bagi mengadopsi inisiatif ini kerana BE menawarkan kerangka menyeluruh untuk mencapai kecemerlangan dalam semua aspek perniagaan.
“BE membantu meningkatkan daya saing, kecekapan operasi, dan kepuasan pelanggan sambil memastikan penjajaran dengan objektif strategik organisasi,” katanya.
Oleh Nur Ain Otsman