TOKYO: Hideki Shirakawa dari Jepun, pemenang Hadiah Nobel Kimia 2000 yang terkenal dengan penemuan dan pembangunan polimer konduktif, meninggal dunia pada akhir Ogos, menurut keluarganya pada Khamis, lapor Kyodo News.
Shirakawa, 90, Profesor Emeritus di Universiti Tsukuba, merupakan rakyat Jepun kesembilan memenangi Hadiah Nobel dan yang kedua dari negara itu menerima Hadiah Nobel Kimia selepas Kenichi Fukui pada 1981.
Beliau berkongsi Hadiah Nobel Kimia pada 2000 dengan saintis Amerika Syarikat (AS) Alan Heeger dan Alan MacDiarmid.
Penemuan mereka yang menunjukkan bahawa plastik boleh mengalirkan elektrik mempunyai pelbagai aplikasi dengan menggabungkan kekonduksian elektrik logam dengan sifat fleksibel polimer.
Beliau menamatkan pengajian di Institut Teknologi Tokyo, yang kini dikenali sebagai Institut Sains Tokyo, pada 1966 dan kemudian menyertai Universiti Pennsylvania sebagai penyelidik. Beliau dilantik sebagai profesor di Universiti Tsukuba pada 1982.
Shirakawa berkhidmat selama dua tahun dalam panel pakar badan kerajaan yang bertanggungjawab merangka dasar sains dan teknologi.- Bernama-Kyodo




