KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memutuskan pembukaan semula sesi persekolahan bagi sekolah menengah dan rendah di Daerah Kuching, Padawan dan Samarahan yang dijadualkan bermula pada hari ini (15 Julai) ditangguhkan ke 3 Ogos 2020.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata penangguhan itu melibatkan sejumlah 138 buah sekolah di tiga daerah tersebut iaitu 87 sekolah di Daerah Kuching, 48 di Daerah Padawan dan tiga di Daerah Samarahan.
“Penangguhan ini melibatkan Kelas Peralihan, Tingkatan 1, 2, 3 dan 4, Tingkatan 6 Rendah, manakala sekolah rendah melibatkan Tahun 5 dan 6 yang dijadualkan bermula pada 15 Julai 2020.
“Ia juga termasuk bagi sekolah rendah Tahun 1, 2, 3 dan 4 yang sepatutnya bermula pada 22 Julai dan juga sekolah-sekolah swasta di daerah terlibat.
“Manakala bagi kelas Prasekolah, Tadika, Tabika, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 Atas, sesi persekolahan adalah diteruskan seperti biasa,” katanya sambil menambah penangguhan sekolah di daerah Padawan dan Samarahan hanya melibatkan yang terletak di kawasan bandar.
Uggah yang juga Pengerusi JPBNS berkata demikian pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini, semalam.
Ujarnya, keputusan tersebut dibuat berikutan kes penularan Covid-19 di Daerah Kuching yang semakin meningkat dan selepas perbincangan serta nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Majlis Keselamatan Negara Negeri Sarawak dan persetujuan bersama antara semua pihak termasuk wakil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dari Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.
“Sementara itu, bagi sekolah di kawasan hijau di luar Daerah Kuching, Padawan dan Samarahan, jadual pembukaan sekolah akan tetap bermula seperti dijadualkan iaitu pada 15 Julai 2020,” jelasnya.
Sementara dalam temu bual dengan Radio Television Malaysia (RTM) pagi semalam, Uggah berkata pembukaan semula sekolah di kawasan hijau di Sarawak tidak menjadi masalah, namun yang paling penting mereka mesti mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti ditetapkan oleh KPM.
Bercakap mengenai perkembangan berkaitan, Uggah mengumumkan bagi majlis sosial yang melibatkan perhimpunan orang ramai, Daerah Kuching kekal menetapkan hanya 250 orang sahaja dibenarkan.
“Manakala daerah-daerah lain yang berstatus hijau boleh meningkatkan bilangan kapasiti mengikut SOP yang dikeluarkan,” tegasnya.
Oleh Zarian Abdullah