PETRA JAYA: Rancangan pembangunan rumah mampu milik Sarawak menjurus ke arah mengimbangi pertumbuhan ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata strategi pembangunan perumahan perlu sejajar dengan matlamat Sarawak untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan pendekatan yang bertanggungjawab.
”Sama ada membincangkan kuota, mekanisme pembayaran atau strategi kecekapan lain, kami akan menangani isu ini secara holistik dalam konteks keperluan industri dan pencapaian pembangunan sektor yang sepadan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalannya, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian pada Ekspo Hartanah Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA)di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Abang Johari berkata Sarawak berhasrat untuk terus melangkah sebagai peneraju dalam kelestarian kepada dunia.
”Memandangkan perjalanan Sarawak ke arah kemampanan bermula lama sebelum menjadi gerakan global dengan operasi empangan Batang Ai sejak 40 tahun lalu, justeru, pembangunan hartanah harus mencapai keseimbangan antara mengekalkan kualiti dan tanpa mengurangkan lagi sumber asli sedia ada.
”Kualiti atau fungsi merujuk kepada lebih daripada sekadar fasad bangunan; pembangunan itu perlu dihubungkan dengan baik, boleh diakses, berpaksikan komuniti dan meningkatkan prospek ekonomi bagi penghuninya.
”Yang penting, peningkatan kualiti, fungsi dan prestasi sedemikian seharusnya pada masa yang sama, bukan dengan mengorbankan sumber asli kita, seperti arang batu,” tambahnya.
Turut hadir adalah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee; Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh: Presiden SHEDA, Augustine Wong Chung Ho; Presiden, Persekutuan Perniagaan Sarawak, Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Openg dan Pengerusi Penganjur Ekspo Hartanah SHEDA 2024, Steve Tan Chen Hang.
Oleh RYNNA SHA’ERRA
Gambar
Datuk Amar Dr Sim Khui Hian sempat meluangkan masa melawat pameran pada Ekspo Hartanah Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini. Gambar HERRIEY NAHA