Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Pembangunan luar bandar, pendidikan percuma dan bantuan rakyat jadi teras ucapan Gawai Uggah
  • TEMPATAN

Pembangunan luar bandar, pendidikan percuma dan bantuan rakyat jadi teras ucapan Gawai Uggah

Utusan Sarawak 5 hours ago
UCAPAN khas sempena Hari Gawai Dayak 2026 oleh Datuk Amar Douglas Uggah Embas. Foto ADUN Bukit Saban

KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menegaskan komitmen kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk terus memperkukuh pembangunan luar bandar, memperluas akses pendidikan serta meningkatkan kebajikan rakyat menerusi pelbagai inisiatif strategik yang dilaksanakan di seluruh negeri.

Dalam ucapan khas sempena Hari Gawai Dayak 2026, beliau turut mengucapkan Selamat Hari Gawai Dayak kepada seluruh masyarakat Dayak yang berada di Sarawak mahupun di perantauan serta menyeru rakyat terus memelihara perpaduan dan semangat kebersamaan.

Menurut beliau, Hari Gawai Dayak bukan sekadar perayaan tradisi, malah menjadi simbol kesyukuran atas nikmat yang diterima, selain menjadi platform untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan serta memelihara warisan budaya dan adat resam yang diwarisi turun-temurun.

Beliau berkata, sambutan tahunan itu turut memperlihatkan keunikan masyarakat majmuk Sarawak apabila rakyat daripada pelbagai kaum dan agama bersama-sama meraikannya dalam semangat perpaduan yang berteraskan konsep Segulai Sejalai.

Menyentuh aspek pembangunan, Uggah berkata kerajaan negeri kini giat melaksanakan projek menaik taraf sepanjang 5,977 kilometer bekas jalan balak di kawasan luar bandar sebagai usaha meningkatkan jaringan perhubungan serta membuka lebih banyak peluang pembangunan kepada komuniti setempat.

Katanya, inisiatif tersebut membuktikan kesungguhan kerajaan GPS untuk memastikan setiap penempatan di Sarawak menikmati kemudahan jalan raya yang lebih baik, sekali gus memudahkan akses kepada peluang ekonomi, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.

Dalam bidang pendidikan pula, beliau menyifatkan pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) sebagai satu detik bersejarah yang bakal memberi manfaat besar kepada generasi muda negeri ini.

Melalui skim tersebut, anak-anak Sarawak berpeluang mengikuti 64 program pengajian meliputi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), termasuk Undang-Undang dan Psikologi di universiti milik Sarawak tanpa membebankan kewangan keluarga.

Beliau berkata pendidikan merupakan kunci utama untuk memutuskan rantaian kemiskinan serta melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu menyokong agenda pembangunan negeri pada masa hadapan.

Uggah turut menjelaskan bahawa kerajaan GPS terus mengutamakan kebajikan rakyat menerusi pelaksanaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), yang ditambah baik bagi membantu rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup susulan ketidaktentuan ekonomi global dan konflik di Asia Barat.

Bagi tahun 2026, kadar bantuan SKAS telah dinaikkan kepada RM1,100 setahun bagi isi rumah, RM600 setahun bagi warga emas dan RM375 setahun bagi individu bujang, dengan pembayaran fasa kedua telah bermula pada 15 Mei lalu.

Beliau menegaskan semua inisiatif yang dilaksanakan mencerminkan sebuah kerajaan yang sentiasa mendengar suara rakyat serta komited dalam melindungi kebajikan, kesejahteraan dan masa depan seluruh rakyat Sarawak.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat terus bersatu padu di bawah kepimpinan Premier Sarawak demi merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) ke arah menjadikan Sarawak sebuah negeri yang makmur, inklusif dan lestari.

Uggah berharap sambutan Hari Gawai Dayak 2026 membawa kebahagiaan, keamanan, kesihatan yang baik dan kemakmuran kepada seluruh rakyat sambil mengulangi ungkapan tradisional Dayak, “Gayu Guru Gerai Nyamai, Lantang Senang Nguan Menua”.

Oleh Adi Safarman

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Tun Wan Junaidi gesa masyarakat Dayak perkukuh pendidikan STEM, TVET sempena Gawai 2026
Next: Utamakan keselamatan sepanjang sambutan Hari Gawai

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.