GEDONG: Kerajaan Sarawak komited membangunkan Daerah Gedong dengan mengambil inspirasi daripada kepimpinan agung Rasulullah SAW.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kepentingan mencontohi Rasulullah SAW, yang dikenali sebagai Al-Amin, dalam menguruskan hal dunia dan akhirat.
“Ini adalah contoh agung yang patut kita ikuti. Rasulullah SAW membangunkan Madinah dengan keilmuan dan kebijaksanaan, dan kita juga harus menerapkan pendekatan serupa di Gedong,” katanya.
Beliau berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Gedong Tahun 1446H/2024M di Dewan Datuk Patinggi Ali, Gedong, hari ini.
Abang Joharo berkata pembangunan Gedong dilakukan secara menyeluruh, merangkumi kawasan Samarahan hingga ke perkampungan sekitar.
Menurutnya, pembangunan bukan hanya tertumpu kepada infrastruktur fizikal tetapi juga kepada pembangunan modal insan.
“Manusia mesti berilmu. Nabi Muhammad SAW sentiasa menekankan kepentingan ilmu. Kita perlu memperluas pengetahuan bagi membangunkan masyarakat secara menyeluruh,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa pembangunan infrastruktur di Gedong akan diselaraskan dengan usaha memperkasa ilmu masyarakat setempat.
“Saya berusaha membangunkan infrastruktur bersama rakan-rakan, tetapi pembangunan insan bergantung kepada diri kita sendiri. Sama ada kita mahu mempertingkatkan ilmu dengan infrastruktur yang dibina, itu adalah pilihan kita,” tambahnya.
Sebelum itu, Abang Johari menyampaikan hadiah kepada para pemenang kontinjen perarakan Maulidur Rasul.
Johan perarakan dimenangi oleh Surau As Shobirin dari Kampung Tengah Lama Gedong, diikuti tempat kedua oleh Masjid Nurul Huda, Kampung Ensengei, dan tempat ketiga oleh Surau Assyakirin, Kanchong Baru Gedong.
Bagi kategori keseluruhan, johan dimenangi oleh Surau Assyakirin.
Majlis turut dihadiri oleh wakil khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Dato Sri Mohd Naroden Majais; ADUN Simunjan, Awla Dris; Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee dan Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang.