
KUALA LUMPUR: Bakal jemaah haji dingatkan supaya mendapatkan permit dan mematuhi peraturan pihak berkuasa Arab Saudi selaras dengan maqasid syariah, bagi menjamin keselamatan jemaah serta mengelakkan kemudaratan dan kekecohan.
Ketua Hal Ehwal Agama Masjidil Haram dan Masjid Nabawi Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais berkata prinsip “tiada haji tanpa permit” selaras dengan syariah Islam yang menitikberatkan pemeliharaan nyawa serta pencegahan kemudaratan, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
Menurut beliau, langkah berkenaan turut bertujuan menjaga keselamatan “dhuyufurrahman” (tetamu Allah) selain membolehkan mereka menunaikan ibadah dalam suasana aman dan tenteram.
“Pematuhan terhadap peraturan dan arahan mencerminkan kesedaran jemaah serta pengagungan terhadap syiar Allah, selain menggambarkan semangat disiplin yang dituntut syarak,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pematuhan terhadap permit haji bukan sekadar prosedur pentadbiran, malah merupakan tanggungjawab syarie dan agama yang mencerminkan kefahaman terhadap maqasid syariah serta mengukuhkan nilai ketaatan dan disiplin demi menjayakan musim haji.
Pelanggaran terhadap peraturan berkenaan boleh memudaratkan diri sendiri dan orang lain, yang jelas ditegah oleh syariah Islam, katanya.
Sudais turut menyaran bakal jemaah haji supaya memberi kerjasama dan mematuhi arahan pihak berkuasa Arab Saudi bagi memastikan kelancaran ibadah serta penyediaan perkhidmatan terbaik kepada tetamu Allah.
Katanya, langkah itu penting bagi memudahkan pelaksanaan ibadah mengikut piawaian pengurusan dan penjagaan tertinggi sepanjang musim haji. – Bernama