
PADAWAN: Seorang wanita berusia 29 tahun ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Padawan di Jalan Tan Sri Dato Amar Wee Boon Ping awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Barry William, berkata operasi yang dijalankan dari 10.30 malam, 29 Julai hingga 4.00 pagi, hari ini melibatkan seorang pegawai, lapan anggota trafik dan tiga anggota Sukarelawan Simpanan Polis (PVR).
Beliau berkata sebanyak 49 kenderaan diperiksa membabitkan 22 motosikal, sembilan kereta, enam pacuan empat roda, tujuh van dan lima MPV, manakala 48 individu turut diperiksa.
“Sebanyak 44 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk pengubahsuaian ekzos, lampu silau, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, memandu tanpa lesen, cukai jalan tamat tempoh, tiada insurans serta penggunaan nombor pendaftaran ‘fancy’,” katanya.
Barry berkata dua pemandu menjalani ujian saringan awal alkohol (SD2+) dengan seorang daripadanya didapati positif.
“Suspek wanita itu kemudian menjalani ujian menggunakan Penganalisis Nafas Pembuktian (EBA II) dan merekodkan bacaan 88mg alkohol bagi setiap 100ml nafas, melebihi had yang dibenarkan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2019),” katanya.
Beliau berkata suspek dibawa ke Balai Polis Batu Kawa untuk tindakan lanjut.
Menurut Barry, operasi berkenaan dilaksanakan bagi membanteras pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol serta memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang demi keselamatan semua.
Oleh Connie Chieng





