
BINTULU: Seorang lelaki mengalami kecederaan patah kaki kanan selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori kontena di lampu isyarat simpang Kampung Jepak, tengah malam tadi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.21 tengah malam sebelum menggerakkan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu ke lokasi, kira-kira lapan kilometer dari balai.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta yang melanggar sebuah lori kontena.
“Seorang mangsa lelaki berusia 31 tahun didapati tersepit di bahagian tempat duduk pemandu, manakala pemandu lori kontena tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkannya kepada pasukan ambulans Hospital Nyabau untuk menerima rawatan lanjut.
“Pasukan bomba turut melakukan kerja-kerja pembersihan dengan menyembur air bagi menghilangkan sisa kemalangan dan memastikan laluan selamat digunakan,” tambah kenyataan itu.
Oleh Liong Chai Ling