
SIBU: Seorang pemandu pacuan empat roda yang didakwa memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya serta kematian seorang pemandu kereta, dijatuhi hukuman denda RM8,000 atau penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di Sibu, hari ini.
Mohd Amirul Adli Haladin, 32, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 di hadapan Majistret Romario Jonoi.
Seksyen ini memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 dan juga penjara tidak lebih 12 bulan jika sabit dengan kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan, Amirul didakwa memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda secara tidak cermat dan perhatian yang sewajarnya terhadap pengguna jalan yang lain pada 14 Januari 2026, lebih kurang 11.55 pagi di Jalan Tunku Abdul Rahman.
Mengikut fakta kes, pada 14 Januari 2026, lebih kurang 11.55 pagi, berlaku kemalangan berhampiran persimpangan lampu isyarat Kemuyang.
Tertuduh yang sedang dalam perjalanan dari Sibu Jaya menuju ke bandar Sibu, telah hilang kawalan dan terbabas ke lorong bertentangan serta bertembung dengan tiga kenderaan lain.
Kemalangan itu juga telah menyebabkan pemandu sebuah kereta Perodua Myvi maut setelah mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan.
Siasatan yang dijalankan mendapati kemalangan itu berpunca daripada tertuduh yang memandu sebuah kenderaan pacuan dengan tidak cermat serta perhatian yang sewajarnya terhadap pengguna jalan yang lain.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Keshava Rao A/l Tharma Raja sementara tertuduh tidak diwakili.
Oleh Akun Giman