SARATOK: Sebuah lori yang sarat dengan muatan kelapa sawit terlibat dalam kemalangan kendiri sekitar 6.30 pagi bertempat di kawasan Simpang Pusa Jalan Saratok- Betong, semalam.
Akibat kemalangan itu pemandu lori tersebut terperangkap di ruang pemandu manakala kelindan lori berjaya keluar dari lori semasa kejadian.
Pusat Gerak Operasi (PGO) Sarawak menerima panggilan melalui MERS 999 mengenai kemalangan jalan raya berkenaan dan mengarahkan keluaran dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok ke lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba Saratok, PPgB Nazry Mohamat berkata, semasa tiba di lokasi pemandu lori berkenaan yang dikenali sebagai Alen Peter Paran, 34, terperangkap di ruang pemandu lori tersebut.
Manakala, rakannya iaitu kelindan lori yang dikenali sebagai Atin Anak Entuni, 28, berjaya keluar menyelamatkan diri.
Menurut Nazry pihak bomba mengambil masa selama 18 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di ruang pemandu lori.
“Operasi menyelamat melibatkan seramai 10 anggota yang diketuai oleh PBK II, Hamden Bladi.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi pihak kami mendapati kemalangan kendiri itu melibatkan sebuah lori pengangkut muatan 10 tan yang sarat membawa buah sawit. Lori tersebut dikatakan sedang dalam perjalanan dari Saratok menuju ke Sri Aman.
“Didapati seorang mangsa yang merupakan pemandu yang dilaporkan masih tersepit akibat impak kemalangan tersebut,” katanya kepada media semalam.
Tambah Nazry, seorang lagi mangsa yang merupakan kelindan telah berjaya keluar dari dalam lori tersebut sebelum bomba tiba.
Katanya lagi, pasukan bomba seterusnya membuat ‘size-up’ di sekeliling kawasan kejadian bagi menentukan keadaan selamat di lokasi sebelum bertindak memindahkan mangsa di tempat yang selamat dan membuat penstabilan dan pemeriksaan awal terhadap mangsa yang mana mangsa mengalami keadaan trauma dan sedar ketika diberi rawatan awal.