KOTA SAMARAHAN: Tindakan membuang sampah di sungai atau kawasan berhampiran penempatan boleh menjadi antara faktor yang menarik kehadiran buaya, sekali gus meningkatkan risiko konflik antara reptilia itu dengan manusia.
Pengasas Crocter, Francis Chai, berkata konflik manusia dan buaya dilihat semakin membimbangkan apabila habitat semula jadi reptilia berkenaan terjejas, selain sumber makanan semakin berkurangan.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan buaya terpaksa bergerak keluar dari habitat asal untuk mencari sumber makanan, termasuk menghampiri kawasan perumahan dan kampung.

“Apabila makanan berkurangan, buaya akan bergerak ke kawasan perumahan atau kampung, terutama tempat orang sering membuang sampah.
“Pembuangan sampah adalah antara faktor utama yang boleh menarik perhatian buaya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengimbas penglibatannya dalam aktiviti menangkap dan memindahkan buaya, Francis berkata ia bermula ketika beliau menjadi Ketua Perhubungan Rela kawasan Desa Ilmu dan sering diminta membantu apabila berlaku kes berkaitan buaya di sekitar Samarahan.
Beliau kemudiannya mendapatkan lesen berkaitan pada 2017 bagi membolehkannya menjalankan kerja menangkap dan memindahkan reptilia berkenaan.
Sepanjang pengalamannya, antara situasi paling mencabar ialah ketika menghampiri sarang buaya, terutama yang mempunyai telur, kerana induk buaya boleh bertindak agresif bagi mempertahankan sarangnya.

Francis berkata buaya terbesar yang pernah ditangkap hidup olehnya di Sarawak berukuran 16 kaki lapan inci dan merupakan buaya jantan, manakala syarikatnya pernah terlibat dalam penangkapan buaya sepanjang 18 kaki 10 inci di negara jiran.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak atau mengesan kehadiran buaya kerana tindakan sedemikian boleh mengundang bahaya.

Sebaliknya, orang ramai disaran melaporkan penampakan buaya kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), termasuk menerusi aplikasi Sarawak CrocWatch dengan menyertakan gambar, video dan anggaran saiz reptilia berkenaan bagi memudahkan tindakan susulan.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak sekadar menularkan gambar atau video penampakan buaya di media sosial tanpa membuat laporan kepada pihak berkaitan kerana kesahihan kandungan kini semakin sukar dikenal pasti susulan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Oleh Norman B





