PELURU BERPANDU… Barisan peluru berpandu Korea Utara.
SEOUL: Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik yang tidak dikenali ke Laut Timur, kata tentera Korea Selatan, hanya beberapa hari selepas kapal pengangkut Amerika Syarikat (AS) yang berkuasa nuklear tiba sebelum latihan bersama.
“Korea Utara melepaskan peluru berpandu balistik yang tidak dikenali,” kata Ketua Turus Bersama Seoul semalam tanpa memberikan sebarang butiran lanjut.
Pelancaran itu, sebahagian daripada rekod ujian senjata oleh Korea Utara, juga dibuat selepas laporan menunjukkan Pyongyang mungkin sedang bersedia untuk menembak peluru berpandu balistik yang dilancarkan kapal selam.
Pegawai Pantai Jepun juga mengesahkan kemungkinan pelancaran peluru berpandu balistik, memetik maklumat daripada Kementerian Pertahanan Tokyo dan memberi amaran kepada kapal supaya berhati-hati.
“Kapal-kapal sila berhati-hati untuk maklumat baharu dan jika anda ternampak sebarang objek asing, jangan dekati mereka tetapi maklumkan kepada pengawal pantai,” kata pengawal pantai itu.
Penyiar awam Jepun, NHK berkata objek itu kelihatan jauh di luar zon ekonomi eksklusif Jepun.
Baru-baru ini, kapal USS Ronald Reagan yang berkuasa nuklear dan beberapa kapal lain berlabuh di bandar pelabuhan selatan Busan, sebahagian daripada usaha Seoul dan Washington untuk mempunyai lebih banyak aset strategik Amerika Syarikat (AS) yang beroperasi di rantau itu.
Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol, berikrar untuk meningkatkan latihan ketenteraan bersama AS selepas bertahun-tahun gagal diplomasi dengan Korea Utara.
Washington adalah sekutu keselamatan utama Seoul dan menempatkan sekitar 28,500 tentera di Korea Selatan untuk melindunginya daripada Korea Utara.
Pada Mei lalu, Korea Utara menguji peluru berpandu balistik jarak dekat dari Sinpo, limbungan kapal tentera laut utama di Korea Utara.- AFP