PETRA JAYA: Pertandingan Perahu Naga Antarabangsa Sarawak 2024 dijadualkan berlangsung dari 25 hingga 27 Oktober, dengan penyertaan 60 pasukan dari 21 negara termasuk England, Ireland, dan Amerika Syarikat.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata Regata Sarawak pula akan bermula dari 1 hingga 3 November, dijangka menarik minat peminat sukan air dan pelancong dari pelbagai negara.
“Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dijadualkan merasmikan Festival Gendang pada 1 November dan penutup Regata Sarawak pada 3 November nanti.
“Beliau juga menyatakan hasrat untuk menyaksikan Pertandingan Perahu Naga Antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengetuai kunjungan hormat Jawatankuasa Regata Sarawak 2024 ke atas Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak, di sini hari ini.
Beliau turut menyatakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, akan merasmikan Pertandingan Perahu Naga Antarabangsa pada 26 Oktober.
Selain itu, Majlis Seni Sarawak akan menganjurkan persembahan muzik dan kebudayaan setiap malam di Tebingan Sungai Kuching dari hujung Oktober, diiringi pameran jualan kraf tangan dari pelbagai pengusaha Malaysia.
Pertarungan bagi gelaran ‘Raja Sungai’ dalam Regata Sarawak 2024 dijangka menjadi acara utama, dengan hadiah RM30,000 menanti pemenang.
Dapur Sarawak, pula akan diadakan bermula 26 Oktober, menawarkan pelbagai hidangan tempatan, sekali gus menambah daya tarikan festival kali ini.
Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan dan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) , Datu Sherina Husaini; Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Negeri Sarawak(UPPANS), Datu Hamdan Sharbini; Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) , Samuel Simon, serta Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi.