
KUCHING: Pelantikan Pengerusi baharu Affin Bank akan dimuktamadkan selepas mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan bahawa calon untuk jawatan tersebut sudah dikenal pasti, namun proses pelantikan masih tertakluk kepada prosedur BNM.
“Calonnya sudah ada, tetapi pelantikan ini perlu melalui prosedur Bank Negara kerana ia memerlukan kelulusan BNM.
“Setakat ini, Lembaga Affin Bank masih berfungsi dengan baik,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Rindok Raya 2025 anjuran Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Beliau turut menyatakan bahawa prestasi semasa Affin Bank adalah memuaskan, dengan perancangan masa depan untuk membiayai projek-projek pembangunan di Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri Malaysia Kelima, atas legasi besar yang ditinggalkan kepada Sarawak melalui cadangan penubuhan RECODA.
“Penubuhan RECODA adalah hasil cadangan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang turut melancarkan beberapa agensi pembangunan di seluruh negara.
“Antara agensi yang diwujudkan ialah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di utara Semenanjung Malaysia, RECODA untuk Sarawak, dan satu lagi agensi pembangunan untuk Sabah.
“Ini merupakan legasi beliau yang masih kita teruskan hingga hari ini,” jelas beliau.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan sumbangan bernilai RM15,000 oleh Pertama Ferroalloys kepada Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Negeri Sarawak (PERYATIM).
Pada majlis sama, Abang Johari turut menyampaikan sumbangan Duit Raya kepada penghuni PERYATIM.
Turut hadir, barisan kepimpinan negeri termasuk Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; serta beberapa timbalan menteri lain dan Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datuk Ismawi Ismuni.