SERIAN: Pendirian Premier Sarawak dalam melindungi pelantar benua negeri ini dalam sempadannya mesti diberi sokongan penuh oleh semua rakyat tempatan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sendiri juga harus memainkan peranan penting dalam meraih sokongan tersebut, lebih-lebih lagi kerana PBB adalah entiti terkuat dalam kerajaan negeri.
“Semua pihak mesti memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Abang Johari dalam melindungi hak kita. Premier dalam ucapan baru-baru ini berkata tiada siapa yang berhak mempersoalkan hak Sarawak yang tidak boleh dipisahkan ke atas pelantar benua dalam sempadannya.
“Hak itu juga tidak boleh dirunding. Menurut Abang Johari juga, dasar laut dan tanah yang asalnya tanah mahkota di bawah Kanun Tanah 1958 menjadi hak milik kerajaan Sarawak selepas pembentukan Malaysia pada 1963,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan mesyuarat Cawangan PBB Balai Ringin di Pusat Konvensyen Serian, hari ini.
Uggah berkata ini jelas diperuntukkan di bawah Perkara 47(2) Perlembagaan Sarawak seperti yang dilampirkan kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Abang Johari menambah MA63 tidak meletak hak mana-mana tanah yang terdapat di pelantar benua dalam sempadan Sarawak kepada Persekutuan atau Kerajaan Persekutuan.
“Sempadan Sarawak yang dilindungi di bawah Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diubah tanpa kelulusan dewan undangan negeri,” katanya.
Menurut Uggah lagi kawasan sempadan pelantar benua negeri kini menjadi perkara yang menjadi perdebatan.
“Kita mempunyai beberapa pihak kini mempersoalkan hak kita. Mereka iri hati dengan apa yang telah dan akan dilakukan oleh Premier Sarawak kita, semuanya demi kepentingan dan kesejahteraan negeri,” katanya.
Beliau dengan itu mencadangkan agar cawangan PBB membuat usul berkaitan pada konvensyen parti, Februari tahun depan.
“Kita mesti tunjukkan kepada semua bahawa Premier Sarawak kita mempunyai sokongan yang jelas daripada semua rakyat Sarawak dalam melindungi hak negeri,” tegasnya
Sementara itu, Uggah turut menyeru cawangan parti untuk menghasilkan usul yang mencerminkan keperluan dan aspirasi sebenar mereka dalam usaha meningkatkan pendapatan dan meningkatkan taraf hidup mereka.
Uggah juga gembira mengetahui bahawa beberapa cawangan telah memutuskan untuk mengusulkan agar Abang Johari kekal tanpa bertanding semula sebagai Presiden PBB bagi sesi 2024-2027.
“Ini akan mencerminkan perpaduan yang sangat kuat yang kita nikmati dalam PBB. PBB sangat kuat kerana perpaduan, persefahaman, disiplin dan pengorbanan yang berterusan daripada semua ahli ini,” katanya.
Mengenai perkara lain Uggah mengingatkan ahli-ahli supaya tidak membentuk puak dalam parti.
“Apabila kita mempunyai kumpulan, ia adalah permulaan kepada kelemahan parti. Ini mesti dielakkan walau apa pun,” katanya.
Pada majlis itu juga Uggah mengucapkan terima kasih kepada bekas Pengerusi Cawangan Petrus Igat Mathias yang telah rela melepaskan jawatannya bagi memberi laluan kepada Senator Susan Chemerai Anding mengambil alih.
Oleh ADI SAFARMAN