

WASHINGTON: Dua angkasawan yang terkandas di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) lebih daripada sembilan bulan mungkin perlu menunggu lebih lama untuk pulang selepas pelancaran kapal angkasa pengganti, ditangguhkan.
Roket Falcon 9 yang membawa kapal angkasa Crew-10 SpaceX-Nasa sepatutnya dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida, pada 7.48 malam Rabu.
Namun, kira-kira 45 minit lagi sebelum pelancaran, ia dibatalkan kerana masalah teknikal.
“Masalah berpunca dari sistem hidraulik di bahagian darat,” kata jurucakap pelancaran Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) Derrol Nail, sambil menambah bahawa “roket dan kapal angkasa berada dalam keadaan baik.”
Menurut maklumat dari Pentadbiran Penerbangan Persekutuan, peluang pelancaran seterusnya dijadualkan pada hari Khamis, dengan tarikh alternatif pada Jumaat.
Angkasawan Nasa, Butch Wilmore dan Suni Williams, terkandas di ISS sejak Jun tahun lalu selepas kapal angkasa Starliner milik Boeing mereka menghadapi masalah pendorong dan dianggap tidak layak untuk membawa mereka pulang. Starliner itu kembali ke Bumi tanpa membawa penumpang.
Wilmore dan Williams sepatutnya menjalani misi di ISS hanya selama lapan hari, tetapi mereka ditugaskan semula ke Crew-9 selepas anggota Crew-9 tiba pada September lalu menggunakan SpaceX Dragon.
Crew-9 hanya membawa dua kru, bukannya empat seperti biasa, bagi memberi ruang untuk Wilmore dan Williams.
Jadi, Crew-9 yang kini berlabuh di ISS hanya boleh kembali ke Bumi selepas kapal yang membawa Crew-10 tiba.
Dua lagi angkasawan lain yang dijadual pulang Bumi bersama-sama Wilmore dan Williams adalah Nick Hague (Nasa) dan kosmonaut Rusia Aleksandr Gorbunov. – AFP