LOS ANGELES: Dua bintang filem Romeo dan Juliet arahan Franco Zeffirelli terbitan 1968 menyaman syarikat perfileman, Paramount Pictures lebih AS$500 juta (RM2.2 bilion) berikutan adegan bogel yang dirakam dalam filem itu ketika mereka berusia 15 dan 16 tahun semalam.
Pelakon tersebut, Olivia Hussey yang kini berusia 71 tahun dan aktor Leonard Whiting, 72, memfailkan tuntutan mahkamah pada Jumaat lalu di Mahkamah Tinggi Santa Monica, California.
Kedua-duanya menuduh Paramount Pictures melakukan gangguan seksual, penipuan, penderaan seksual dan sengaja menimbulkan tekanan emosi.
Hussey dan Whiting, yang mana kedua-duanya warga Britain berkata, Zeffirelli pada asalnya memberitahu tidak akan ada sebarang babak bogel tetapi mereka kemudian diberitahu bahawa filem itu akan gagal melainkan mereka melakukan adegan tersebut.
Tuntutan itu mendakwa pasangan tersebut dirakam dalam keadaan bogel tanpa pengetahuan mereka dan mereka kini menuntut ganti rugi dipercayai melebihi AS$500 juta.
Hussey dan Whiting berpendapat mereka tidak mempunyai pilihan selain beraksi dalam keadaan bogel dengan solekan badan seperti yang dituntut pada hari terakhir penggambaran.
Filem ini dikeluarkan pada 1968 dan mendapat pujian kritis dengan Zeffirelli mendapat pencalonan Anugerah Akademi untuk Pengarah Terbaik tetapi meninggal dunia 2019 pada usia 96 tahun. – AFP