KOTA KINABALU, 31 Oktober: Orang ramai mula membanjiri Padang Merdeka di sini seawal 5.30 pagi bagi meraikan perkahwinan selebriti Bella Astillah dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menerusi Kenduri Rakyat.
Majlis resepsi itu menarik kehadiran lebih 20,000 orang, sekali gus menjadikan padang di tengah-tengah bandar raya ini dipenuhi tetamu yang hadir untuk meraikan pasangan pengantin baharu berkenaan.
Suasana majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu yang mengenakan pakaian tradisional pelbagai kaum, sekali gus mencerminkan kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat Sabah.
Antara pakaian tradisional yang menarik perhatian ialah busana masyarakat Bajau Semporna, Bajau Sama, Kadazan, Dusun Tindal, Dusun Kujau, Murut, Bugis, Bidayuh dan Lundayeh, yang masing-masing menampilkan keunikan warisan budaya tersendiri.

Kepelbagaian warna, corak dan reka bentuk pakaian tradisional berkenaan menambahkan kemeriahan suasana, sekali gus menjadikan Padang Merdeka sebagai medan memperagakan keindahan warisan budaya Sabah.
Bagi tetamu, Cynthia D Baga, Kenduri Rakyat itu istimewa bukan sahaja kerana kehadiran orang ramai, malah turut memberi peluang untuk mengetengahkan kekayaan warisan budaya Sabah menerusi pemakaian busana tradisional.
“Inilah yang menjadikan Sabah unik,” katanya kepada Bernama.
Seorang lagi tetamu, Esther Glorie Leow, menyifatkan majlis resepsi itu sebagai acara istimewa yang menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang untuk meraikan pasangan pengantin baharu berkenaan.
“Amat menggembirakan melihat begitu ramai orang berkumpul untuk meraikan acara istimewa ini. Apa yang menjadikannya lebih bermakna ialah apabila melihat semua orang bangga mengenakan pakaian tradisional masing-masing, sekali gus memperlihatkan keindahan kepelbagaian budaya yang kita miliki di Sabah,” katanya.
Bella dan Syed Saddiq tiba di Padang Merdeka kira-kira 1.00 tengah hari.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, turut menghadiri majlis resepsi berkenaan. – Bernama




