PASANGAN pelakon sensasi, Janna Nick dan Dini Schatzmann akhirnya menamatkan teka-teki apabila melangsungkan majlis pernikahan secara tertutup di sebuah resort terkemuka di Langkawi, pagi tadi.
Dengan sekali lafaz, Dini atau nama sebenarnya, Muhamad Dini Azan Schatzmann, 29, bergelar suami kepada Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, 28, tepat 8.35 pagi.
Menurut laporan sebuah akhbar nasional, Dini dan Janna dinikahkan oleh bapa Janna sendiri, Muner Abdullah bersaksikan Pengerusi Masjid Aisyah, Othman Yahya serta sepupu pengantin perempuan, Amir Fikri dan Amar Fikri.
Dalam majlis serba indah yang berlangsung di Masjid Aisyah, Dini turut menyerahkan mas kahwin RM2,703 kepada Janna dan seutas rantai emas.
Jumlah mas kahwin adalah simbolik tarikh perkenalan pada 27 Mac 2019.
Majlis yang mendapat sentuhan rekaan The Calla itu dihadiri oleh ahli keluarga dan rakan selebriti pasangan dua sejoli itu.
Antara rakan artis yang hadir termasuklah Izzue Islam, Nora Danish, Ain Edruce, Puteri Sarah Liyana, Nadia Brian, Mawar Rashid, Dayah Bakar dan ramai lagi.
Pasangan itu seterusnya diraikan dalam sebuah majlis resepsi yang berlangsung di sebuah resort terkemuka di Langkawi.
Semalam, berlangsung majlis doa selamat dan bacaan yassin yang turut dihadiri penceramah, Ustaz Wadi Annuar, ahli keluarga dan rakan artis.