Pelajar SK St Edmund raih hatrik emas, harumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa

Facebook
WhatsApp
ABNER Dominggo Collin membuktikan keupayaan murid luar bandar apabila berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

LIMBANG: Seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) St Edmund Limbang mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih pencapaian emas dalam tiga peringkat Pertandingan Teeneagle Global Final 2026 di United Kingdom (UK), yang berlangsung dari 2 hingga 9 Ogos lalu.

Abner Dominggo Collin, murid Tahun Lima, melakar pencapaian bersejarah apabila mewakili Malaysia dalam pertandingan Bahasa Inggeris antarabangsa berprestij itu.

Kejayaan berkenaan menyaksikan Abner melengkapkan hatrik emas selepas terlebih dahulu meraih pingat emas pada Peringkat Kelayakan Kebangsaan pada 3 hingga 5 April lalu bagi kategori pelajar sekolah rendah (TE1).

PENTAS ANTARABANGSA…Abner Dominggo Collin bersama pingat emas yang diraih pada Pertandingan Teeneagle Global Final 2026 di United Kingdom. Foto SK St Edmund

Beliau kemudiannya mengekalkan kecemerlangan dengan meraih emas pada Peringkat Pusingan Serantau (Regional Round) yang berlangsung pada 2 dan 3 Mei 2026 di Sekolah Antarabangsa British Kuala Lumpur, sekali gus melayakkan diri ke pusingan akhir di UK.

Pada peringkat antarabangsa itu, Abner turut menerima Anugerah Pingat Emas keseluruhan selain memenangi Anugerah Pingat Perak bagi kategori ‘Productive Skills’.

Guru Besar SK St Edmund, Anthony Upe berkata, kejayaan Abner melangkah ke pentas antarabangsa membuktikan murid dari kawasan luar bandar seperti Limbang mampu bersaing dengan peserta dari seluruh dunia.

“Seluruh warga SK St Edmund amat bangga dan terharu atas pencapaian luar biasa Abner Dominggo di peringkat antarabangsa.

“Kejayaan Abner bukan sahaja menaikkan nama sekolah, malah menjadi inspirasi serta penanda aras baharu kepada seluruh murid SK St Edmund untuk berani memasang impian besar,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Guru Penyelaras, Jemima Tuah berkata, kejayaan Abner melangkah ke pusingan akhir di UK adalah hasil komitmen, disiplin dan kerja keras yang berterusan.

Menurutnya, Abner merupakan murid yang tekun menguasai kemahiran Bahasa Inggeris selain menunjukkan kebolehan berfikir secara kritis dan keyakinan tinggi sepanjang menjalani latihan.

“Sokongan berterusan daripada ibu bapanya, Winnie Suli dan Sarjan Mejar (SM) Collin Maxwell, serta dorongan daripada guru-guru menjadi nadi utama kejayaan ini.

“Kami berharap pengalaman di pentas antarabangsa ini menjadi batu loncatan untuk Abner terus cemerlang pada masa hadapan,” ujarnya.

Kejayaan itu sekali gus membuktikan potensi murid luar bandar dalam mengharumkan nama sekolah, Sarawak dan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Oleh Adeng Edrus