Pelaburan RM50 juta pacu hab perubatan regeneratif Sarawak

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama antara Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia dan BioVerde Technologies Sdn Bhd di Taman BioIndustri Sarawak, Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN: Sarawak dicadang membangunkan hab perubatan regeneratif pertama di Asia Tenggara menerusi pelaburan RM50 juta di Taman BioIndustri Sarawak, sekali gus memperkukuh keupayaan negeri dalam bidang bioteknologi dan penjagaan kesihatan.

Cadangan itu merupakan kerjasama antara Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia dan BioVerde Technologies Sdn Bhd (BVT), yang dimeterai menerusi pertukaran dokumen pada Majlis Pecah Tanah dan Pertukaran Perjanjian Taman BioIndustri Sarawak, di sini, semalam.

Pertukaran dokumen itu melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif BVT, Ts. Hazwan Razak serta disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Kerjasama itu merupakan lanjutan Memorandum Persefahaman yang dimeterai pada Oktober 2025 sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak antara Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia dan BVT, yang merupakan cabang komersial Majlis Biodiversiti Sarawak.

Hab Bioperubatan Regeneratif Sarawak dirancang sebagai hab bersepadu yang menghubungkan penyelidikan, pembuatan dan aplikasi klinikal bagi mempercepatkan pembangunan perubatan regeneratif daripada peringkat makmal hingga rawatan pesakit.

Kemudahan itu akan merangkumi empat komponen utama iaitu Hab Pembuatan, Hab Klinikal, Hab Teknologi dan Penyelidikan serta Hab Kesejahteraan.

Ia turut menyokong pembangunan produk terapi sel dan gen, termasuk terapi sel stem dan terapi sel imun, bagi rawatan penyakit kompleks seperti kanser tertentu dan penyakit genetik.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata, pembangunan kemudahan itu akan menyediakan laluan lebih kukuh kepada syarikat bioteknologi untuk menguji, mengesahkan dan membangunkan teknologi mereka dalam persekitaran penjagaan kesihatan sebenar.

“Malaysia memerlukan infrastruktur dan laluan pembangunan yang lebih kukuh bagi membolehkan hasil penyelidikan dalam bidang penjagaan kesihatan diterjemahkan kepada rawatan yang dapat memberi manfaat kepada pesakit.

“Kerjasama dengan BVT akan memberi syarikat dalam ekosistem kami laluan lebih baik untuk menguji, mengesahkan dan membangunkan teknologi mereka dalam persekitaran penjagaan kesihatan sebenar,” katanya.

Beliau berkata, Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia kini menyokong lebih 50 produk terapi sel dan gen yang sedang dibangunkan oleh syarikat bioteknologi dan bakal mendapat sokongan menerusi kemudahan berkenaan.

Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak akan membangunkan empat komponen utama hab berkenaan, selain memudah cara pembangunan bakat, akses kepada insentif serta kerjasama dengan agensi berkaitan, hospital dan pihak berkepentingan.

Inisiatif itu dijangka memperkukuh ekosistem bioteknologi dan penjagaan kesihatan Sarawak, selain menarik pelaburan baharu serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Ia turut menyokong aspirasi Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 serta agenda nasional menerusi Dasar Bioteknologi Negara 2.0 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dalam memperkukuh sektor penjagaan kesihatan, terapi sel dan gen serta pembuatan bernilai tinggi.