Pelabuhan Pending terus beroperasi, Tanjung Embang dirancang pelabuhan laut dalam

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas (tiga kanan) selepas menyempurnakan upacara penyambungan akhir struktur Jambatan Sejingkat, di sini, hari ini. Foto JKR

KUCHING: Pelabuhan Pending masih beroperasi sepenuhnya dan tidak terjejas akibat pembinaan Jambatan Sejingkat, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata, perancangan untuk membangunkan pelabuhan laut dalam baharu di Tanjung Embang pula didorong oleh keperluan menampung pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan aktiviti perdagangan Sarawak pada masa hadapan.

“Pelabuhan Pending masih beroperasi sepenuhnya. Pihak Lembaga Pelabuhan Kuching (KPA) juga telah memberikan penjelasan yang menyeluruh mengenai keadaan tersebut.

“Jadi, tuduhan bahawa pelabuhan itu terjejas disebabkan jambatan ini adalah tidak tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan upacara penyambungan akhir struktur Jambatan Sejingkat, di sini, hari ini.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, kerajaan Sarawak melihat pembangunan pelabuhan dalam konteks transformasi ekonomi negeri yang lebih besar, dengan pertumbuhan ekonomi dijangka antara enam hingga lapan peratus.

Katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak juga diunjurkan mencapai RM282 bilion menjelang 2030, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap infrastruktur jalan raya dan pelabuhan.

“Keperluan ini bukan disebabkan jambatan ini, tetapi kerana jumlah dan jenis perniagaan yang dijangka masuk hasil daripada kelebihan daya saing Sarawak, sumber tenaga dan Sarawak Gas Roadmap,” ujarnya.

Menurutnya, pertambahan produk dan pelaburan pada masa hadapan memerlukan kemudahan pelabuhan yang mampu beroperasi dengan lebih lancar serta memenuhi keperluan perdagangan yang semakin berkembang.

“Kita memerlukan pelabuhan yang tidak terhalang oleh king tide dan low tide, selain tidak memerlukan kerja-kerja dredging, supaya operasi pelabuhan dapat dijalankan dengan lebih lancar,” tegasnya. 

Beliau menambah, pembangunan pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang kerajaan Sarawak untuk memenuhi keperluan tersebut.

“Kita bukan sekadar melaksanakan projek tanpa memikirkan hasil dan impaknya kepada negeri, termasuk impak sosioekonomi. Kita melihat jauh ke hadapan.

“Sebab itu kerajaan negeri melihat melangkaui Senari dan Pending dengan membangunkan pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang sebagai pelabuhan laut dalam utama Sarawak pada masa akan datang,” katanya.

Oleh Adele Rissa