KOTA SAMARAHAN: Seorang pekerja kontraktor Maxis berjaya menyelamatkan diri selepas berlaku kebakaran membabitkan sebuah pencawang di Kampung Binyu Baru, Jalan Kuching-Samarahan Ekspresway, malam ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.00 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan tiba di lokasi pada 8.28 malam.
Menurutnya, maklumat awal yang diterima memaklumkan terdapat seorang lelaki terperangkap di atas pencawang dengan api sedang marak di bahagian bawah.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kebakaran membabitkan sebuah tapak pencawang.
“Ketika kejadian, seorang pekerja kontraktor Maxis sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di atas pencawang pada anggaran ketinggian 100 kaki,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, pekerja kontraktor berkenaan berjaya turun dan menyelamatkan diri sebelum ketibaan pasukan bomba.
Operasi pemadaman masih dijalankan di lokasi bagi memastikan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya.
Operasi itu melibatkan 15 anggota dari BBP Kota Samarahan dengan bantuan BBP Tabuan Jaya, menggunakan dua jentera pemadam kebakaran (FRT) dan sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).




