MIRI : Sebanyak 250 kilogram sayur-sayuran disumbangkan para pekebun kepada penduduk Kampung Lembah Hijau dan Kampung Lopeng Tengah di sini, semalam.
Sumbangan sayur-sayuran itu dihantar sendiri oleh pekebun-pekebun ke Dewan Serbaguna Kampung Lopeng Tengah Riam sebelum diagihkan kepada penduduk melalui Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin yang disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin.
Lee yang juga Menteri Pengangkutan berkata, agihan tersebut diuruskan oleh Ketua Kaum dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung JKKK).
“Petugas yang bertanggungjawab melakukan penghantaran diingatkan berhubung pematuhan penjarakan sosial mesti berdiri sekurangnya satu meter manakala penghantaran adalah dengan meletakkan di luar pintu kediaman atau pagar rumah dan petugas yang menghantar tidak perlu memasuki kediaman,” katanya.
Lee berkata, usaha yang dilakukan para pekebun di sini harus diberikan pujian kerana atas keprihatian dan kerjasama erat bersama kerajaan dalam membantu mereka yang terjejas pada waktu sukar ini.
Sementara itu, Ketua Kaum, Adam Malik menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak yang telah membantu rakyat dengan agihan Bantuan Makanan Sarawakku Sayang yang dilancarkan minggu lepas.
Menurutnya, sumbangan tersebut yang diagihkan oleh Pusat Khidmat DUN Senadin selesai diserahkan kepada penerima yang disasarkan.
“Pagi ini (semalam), sumbangan sayur pula adalah satu kegembiraan buat kami kerana tidak perlu keluar rumah untuk mendapat bekalan makanan dan sayur yang kami terima ini agak banyak dan cukup untuk beberapa hari,” katanya.
Hadir sama, Ketua Kaum Kampung Lopeng Tengah, Nilawati Simat.