SARATOK, 17 November: Lima individu berdepan detik cemas apabila kenderaan jenis Nissan Grand Livina yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan kendiri di Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran Simpang Roban, petang ini.
Dalam kejadian kira-kira 2.50 petang itu, empat mangsa dilaporkan selamat tanpa mengalami kecederaan, manakala seorang lagi wanita dewasa mengalami kecederaan ringan.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok digerakkan ke lokasi.
Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di tempat kejadian pada 3.14 petang dan mendapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah Nissan Grand Livina dengan lima individu berada di dalam kenderaan berkenaan.
Bagaimanapun, kesemua mangsa berjaya keluar dari kenderaan dengan sendiri dengan bantuan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba, sekali gus tidak memerlukan sebarang kerja menyelamat dijalankan.
Mangsa wanita dewasa yang mengalami kecederaan ringan diberikan rawatan awal oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi sebelum dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.
Dalam operasi sama, jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bomba turut membantu menghantar seorang mangsa lelaki warga emas yang merupakan pesakit buah pinggang dan perlu menjalani rawatan dialisis ke hospital.
Operasi diketuai PBK I Abdul Rahman Sabi dengan kekuatan enam anggota menggunakan sebuah Jentera Pemadam Kebakaran (FRT) dan sebuah jentera EMRS, selain dibantu pihak KKM.
Keadaan di lokasi berjaya dipastikan selamat dan terkawal sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 3.30 petang.
Oleh Adi Safarman




