
Foto HERRIEY NAHA
KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memperkukuh hubungan dengan masyarakat bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata prinsip Driving for Excellence menjadi pegangan PDRM dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Usaha memastikan kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat didorong oleh prinsip ini, yang menjadi asas kepada kestabilan dan keamanan negara serta pembangunan ekonomi,” katanya dalam amanat sempena sambutan peringatan Hari Polis ke-218 yang dibacakan oleh Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, hari ini.
Beliau menekankan bahawa konsep polis dan masyarakat berpisah tiada perlu diterapkan dalam setiap elemen pasukan keselamatan bagi meningkatkan kerjasama dengan pelbagai pihak.
“Melalui strategi Associated & Integrated atau AI, PDRM akan terus meningkatkan kerjasama dengan masyarakat, agensi kerajaan, dan sektor industri bagi memperkukuh profesionalisme, kecakapan serta keupayaan anggota dalam menjalankan tugas,” katanya.
Menerusi ucapannya, Razarudin turut mengingatkan setiap anggota PDRM agar menghayati nilai-nilai mesra, adil, luhur, amanah, yakin, setia, dan arif dalam mendukung dasar kerajaan serta reformasi perkhidmatan awam.
“Pematuhan kepada integriti serta slogan Setia Berkhidmat yang tersemat pada seragam biru kita harus menjadi asas utama dalam menjalankan amanah kepada masyarakat dan negara,” tambahnya.
Dalam kesempatan ini, Razarudin, turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan, pasukan keselamatan sahabat, rakan-rakan media, dan masyarakat atas sokongan yang diberikan kepada PDRM selama ini.
Sambutan Hari Polis ke-218 di IPD Kuching turut dihadiri pegawai kanan polis, anggota PDRM, serta tetamu jemputan bagi meraikan perkhidmatan pasukan keselamatan itu dalam menjaga keamanan negara.
Oleh Amanda L.