PDRM perlu tegas laksana undang-undang jika mahu dilihat bertaraf dunia

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu diberi ruang menguatkuasakan undang-undang secara bebas tanpa mengira kedudukan atau latar belakang sekiranya negara mahu memiliki pasukan polis bertaraf dunia.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata tindakan tegas tanpa pilih kasih adalah kunci utama memastikan PDRM terus dihormati dan dipercayai oleh masyarakat.

“Kita tidak kira sesiapa, parti kerajaan atau parti pembangkang. Kalau melintasi garisan undang-undang, tangkap. Barulah orang hormat kepada pasukan polis,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di sini hari ini.

Terdahulu Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Ibrahim Darus dilantik sebagai Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara bermula hari ini.

Ayob Khan dalam pada itu berkata beliau tidak berminat dan tidak berhasrat untuk menyertai politik selepas menamatkan perkhidmatan.

“Politik ini kita serah kepada orang politik. Saya bukan politician. Kalau nak suruh saya jadi negarawan, saya nak jadi. Apa beza negarawan dengan ahli politik? Ahli politik memikirkan lima tahun lagi untuk kekal, tetapi negarawan memikirkan 20 tahun akan datang,” katanya.

Mengulas dakwaan campur tangan politik sepanjang kerjayanya, Ayob Khan berkata meskipun soalan itu bersifat sensitif, beliau memberi contoh tindakannya ketika mengetuai Bahagian Counter Terrorism pada 2019.

Pihaknya ketika itu menahan 14 atau 15 individu yang disyaki terbabit dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti kerajaan semasa.

“Saya tangkap juga, adakah itu menunjukkan ada campur tangan politik? Tak ada. Kalau melintasi garisan tidak kira siapa, saya akan tangkap,” katanya.

Ayob Khan bakal bersara wajib esok selepas berkhidmat selama hampir 35 tahun bersama PDRM.

Sepanjang kerjayanya, Ayob Khan pernah memegang pelbagai jawatan penting antaranya dalam Cawangan Khas termasuk Bahagian Counter-Terrorism, Ketua Polis Johor, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada Jun 2023. – Bernama