KUALA LUMPUR: Syarikat PBH Asset Management Sdn. Bhd. telah dilantik untuk melaksanakan kerja menyelenggara Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak bagi tempoh kontrak selama tiga tahun.
Satu majlis penyerahan surat setuju terima (SST) bagi kontrak menyelenggara Jalan Persekutuan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak kepada pihak kontraktor diadakan di Kompleks Kerja Raya di sini hari ini.
Ia bagi memastikan LPB Sarawak diselenggarakan dengan baik.
Cawangan Lebuhraya Pan Borneo menerusi satu kenyataan menyatakan
syarikat konsesi ini dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan kerja-kerja menyelenggara jalan yang terdiri dari kerja rutin (sepanjang tahun), kerja turapan berkala, kerja berkala bukan turapan dan kerja kecemasan mengikut kelulusan dari semasa ke semasa.
“JKR Sarawak turut dilantik sebagai rakan strategik KKR dan bertindak bagi pihak kerajaan (Persekutuan) dalam perkara berkaitan dengan operasi, menyelenggara dan penyeliaan serta pengawasan pelaksanaan kerja-kerja bagi memastikan pematuhan terma dan syarat oleh syarikat konsesi,” katanya.
Surat lantikan diserahkan kepada Pemangku Pengarah Kerja Raya Sarawak, Ir. Wisil Lichok. Turut menyaksikannya ialah, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha Sektor Dasar dan Pembangunan KKR, Dato Zahrul Hakim Abdullah; Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Lebuhraya Pan Borneo, Indra Sakti Haron dan pegawai-pegawai JKR Sarawak.
Gambar
Satu majlis penyerahan surat setuju terima (SST) bagi kontrak penyenggaraan Jalan Persekutuan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak kepada pihak kontraktor diadakan di Kompleks Kerja Raya di Kuala Lumpur hari ini yang disaksikan oleh Nanta.